Mazlan Bujang keluar Bersatu, gesa penyokong parti itu muhasabah diri - Utusan Malaysia

Mazlan Bujang keluar Bersatu, gesa penyokong parti itu muhasabah diri

MAZLAN Bujang (tiga dari kiri) mengadakan sidang akhbar mengenai pengumuman perletakan jawatan dalam parti Bersatu berkuat kuasa serta-merta di Kompleks Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang umum keluar parti berkuat kuasa serta-merta pada hari ini.

Mazlan berkata, beliau bersama 23 orang yang terdiri daripada Ketua Cawangan dan Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau turut sama mengikut jejaknya.

Beliau berkata, tidak akan menyertai mana-mana parti buat masa ini dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

“Setelah menilai dan menimbang semenjak sekian lama dengan pemikiran yang waras maka saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau berkuat kuasa serta-merta dan keluar parti.

“Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha Bersatu Bahagian serta pegawai dan beberapa ahli jawatankuasa Bersatu Tebrau.

“Saya juga mengisytiharkan bahawa saya kini tidak menjadi ahli mana-mana parti tetapi menyokong BN,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Yayasan Warisan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor juga mengambil pendirian menyokong Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohamad untuk memimpin semula negeri Johor.

Katanya, sokongan itu bagi mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri ini yang lebih baik untuk kebaikan rakyat Johor.

“Keputusan ini saya buat berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil, kepimpinan yang diyakini dan juga berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar sebelum ini mentadbir negeri Johor dengan baik.

“Bersatu dan parti Pakatan Harapan (PH) Johor juga dilihat gagal mengemukakan calon Menteri Besar yang layak mentadbir negeri Johor,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mazlan juga menyeru kepada semua ahli dan penyokong Bersatu untuk bermuhasabah diri dan menyokong kepimpinan Hasni dan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada kali ini.

Sebelum ini, Mazlan memberi bayangan tidak kekal lama dalam parti ekoran hubungan dengan Pengerusi Bersatu Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Difahamkan sejak bekas Perdana Menteri kelapan itu memegang jawatan berkenaan, Mazlan tidak pernah hadir sekali pun mesyuarat ketua-ketua Bahagian Johor.

“Saya tidak sehaluan lagi dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak nampak ada masa depan, jika terus bersama parti itu. Saya tidak mahu bersama Bersatu yang dipimpin Muhyiddin.

“Bersatu bukan milik Muhyiddin kerana pemimpin boleh bersilih ganti, namun saya tidak mungkin akan terus bersama parti itu yang dipimpin beliau, kerana prinsip kami tidak sama,” katanya sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya