Lebih empat bulan terlantar akibat kemalangan - Utusan Malaysia

Lebih empat bulan terlantar akibat kemalangan

AHMAD Fauzi Abdullah terlantar atas katil ditemani isterinya, Haslin Idayu Md Desa, bersama anak bongsu pasangan itu ketika ditemui di rumahnya di Sungai Wangi, Ayer Tawar semalam. - UTUSAN/SHAMSUL.KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  “Setiap hari saya berdoa supaya segera sembuh agar dapat bekerja semula menyara keluarga.

“Bukannya mengharapkan sumbangan untuk kelangsungan hidup seperti sekarang,” kata Ahmad Fauzi Abdullah, 49.

Ahmad Fauzi sudah empat bulan terlantar di rumah sewanya di Taman Bistari, Sungai Wangi, Ayer Tawar, dekat sini selepas mengalami kemalangan jalan raya ketika pulang bekerja pada 21 Ogos lalu.

Dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 4 Jalan Sitiawan – Kampung Acheh kira-kira pukul 5.30 petang itu, sebuah kereta Proton Preve dinaiki tiga orang dari Lekir menghala ke Kampung Acheh terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh enam motosikal ditunggang dan dibonceng pekerja kilang Sapura Energy dari arah Kampung Acheh menuju ke Sitiawan.

Tiga daripada mangsa yang menaiki motosikal maut di tempat kejadian, tiga orang lagi termasuk Ahmad Fauzi dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM), seorang dirawat di Hospital Pantai Manjung manakala seorang lagi yang cedera dibenarkan keluar dari HSM pada hari kejadian.

Menurut Ahmad Fauzi, dalam kemalangan itu, semua gigi hadapannya patah begitu juga rahang, tulang belikat, tangan kiri, ibu jari, kaki kanan serta pinggangnya yang juga patah.

Menceritakan semula kejadian itu, dia yang bekerja sebagai operator mesin, hanya mengingati terdengar bunyi brek kereta yang kuat dan melihat kelibat sebuah kereta berwarna kuning menuju ke arahnya sebelum ‘tertidur’.

“Selepas itu, saya tidak ingat apa-apa dan apabila tersedar sudah berada dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seri Manjung (HSM) dalam keadaan tangan dan kaki diikat besi dan apabila bertanya kepada jururawat bertugas, dia memberitahu saya koma empat hari sebelum tersedar,” jelasnya yang terpaksa dirawat dalam wad HSM selama sebulan.

Dia ditemui pemberita selepas menerima bantuan wang tunai sumbangan orang ramai yang diberi melalui aktivis sosial, Surayah Abd Hamid, di rumahnya di Taman Bistari, petang semalam.

Dalam tempoh di HSM, dia menjalani dua pembedahan termasuk satu pembedahan utama selama 10 jam, dan kini perlu rawatan susulan termasuk menjalani sinar x-ray setiap bulan di HSM untuk melihat keadaan tulangnya.

Selebihnya, bapa kepada lima anak berusia 23 hingga lima tahun itu, hanya terlantar di rumah dan tidak dibenarkan banyak bergerak kerana tulang pinggangnya belum pulih dan masih dipasang skru dan besi.

Dia bagaimanapun sesekali boleh duduk untuk makan atau pergi mendapatkan rawatan susulan di HSM tetapi tidak boleh melebihi lima minit kerana terasa sakit di bahagian pinggangnya manakala tangan kanan dan kaki kiri pula belum pulih.

Bagaimanapun jarinya pula semakin baik selepas menjalani rawatan fisioterapi.

“Ketika mula-mula terlantar di HSM, saya seperti putus harapan kerana tidak boleh lagi bekerja untuk menyara keluarga, tetapi selepas diberi harapan oleh doktor yang merawat serta melihat wajah isteri dan anak-anak, saya bersemangat dan yakin mampu pulih semula,” ujar beliau.

Ketika ini, perbelanjaan keluarganya termasuk pembelian lampin pakai buang dan susu khas merawat penyakit diabetes dialaminya, menggunakan sepenuhnya wang sumbangan adik beradik, rakan-rakannya dan pihak yang bersimpati dengan nasib dialaminya.

Mulai bulan ini pula, bayaran sewa rumahnya sebanyak RM500 ditanggung oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Isterinya, Haslin Idayu Md Desa, 44, pula tidak bekerja kerana mengidap darah tinggi kronik dan pernah menjalani pembedahan membuang darah beku dalam kepalanya, dan kini menguruskan sepenuh masa Ahmad Fauzi.

“Saya sudah membuat tuntutan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tetapi sehingga sekarang tiada khabar berita, tetapi bersyukur majikan masih mengekalkan saya bekerja dengan diberi cuti sakit (MC) tanpa gaji,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin menghulur sumbangan boleh menghubungi Ahmad Fauzi di talian 011-39554049. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.