Imigresen gempur dua premis jadi lokasi palsu data, dokumen warga asing

Imigresen gempur dua premis jadi lokasi palsu data, dokumen warga asing

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua premis kediaman di sekitar Selayang dan Desa Petaling, Selangor digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menjadi lokasi kegiatan pemalsuan data dan dokumen melibatkan pekerja warga asing.

Serbuan itu dilakukan menerusi  Op Serkap oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia hasil risikan dan pemantauan berterusan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai tiga individu berumur di antara 35 hingga 45 tahun telah ditahan dalam operasi itu.

Mereka ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang warganegara Sri Lanka.

“Modus operandi sindiket ini melibatkan pengubahsuaian ke atas dokumen tulen yang dikeluarkan oleh JIM seperti ePASS dan pelekat palsu untuk digunakan oleh pihak lain bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.

“Selain itu, terdapat juga beberapa dokumen pendaftaran perkahwinan pasangan kepada warganegara serta laporan perubatan yang telah disediakan bagi tujuan pendaftaran permohonan melibatkan JIM dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini

Zakaria berkata, kegiatan itu dipercayai dilakukan secara terancang selama kurang dari dua tahun dengan penglibatan rangkaian tertentu bagi melancarkan urusan kemasukan dan keberadaan warga asing secara tidak sah di negara ini.

Jelasnya, pelbagai peralatan dan dokumen yang telah diubah suai untuk mengaburi pihak berkuasa sekiranya pemeriksaan dijalankan telah disita.

“Antaranya 11 naskhah pasport pelbagai negara, 15 keping i-kad, peranti digital dan telefon bimbit masing-masing (lima buah) dan mesin pencetak (satu).

“Kesemua warganegara asing yang ditahan ditempatkan di depot Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

Tambah Zakaria, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemalsuan data dan dokumen melibatkan warganegara asing. 

Jelasnya,tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat, termasuk  melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warganegara asing tanpa dokumen sah.

“Penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan dan bersepadu bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen sentiasa terpelihara, dengan tindakan sewajarnya diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN