SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Sambutan Jubli Perak bersempena 25 Tahun Pemerintahan baginda dilaksanakan secara sederhana dengan mengurangkan beberapa program telah diatur.
Baginda bertitah, keputusan tersebut dibuat selepas berunding dengan Ahli Dewan di-Raja Selangor, mengambil kira keadaan ekonomi global tidak menentu ketika ini, yang turut memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.
“Beta menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah kerana mengurniakan beta peluang untuk terus berkhidmat kepada negeri dan rakyat Selangor sepanjang tempoh ini. Masa berjalan dengan begitu pantas dan tidak semua pemerintah yang sempat sampai selama tempoh 25 tahun pemerintahan.
“Beta mengambil maklum bahawa peruntukan telah disediakan oleh kerajaan negeri, namun melihat kepada kegawatan ekonomi dunia sekarang hingga tempiasnya dirasai negara kita dan memahami kesusahan terpaksa ditanggung sekalian rakyat…maka beta membuat keputusan agar sambutan Jubli Perak dilaksanakan secara sederhana dan tidak berlebihan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 tahun 2025 di sini, semalam.
Justeru, Sultan Sharafuddin memutuskan agar majlis santapan malam diraja di lstana Alam Shah, Klang tidak diadakan, manakala pertunjukan bunga api serta penganjuran konsert diraja atau konsert rakyat dibatalkan.
“Sebaliknya, beta hanya berkenan diadakan dua atau tiga kali jamuan teh untuk rakyat diadakan di Padang Mahkota di lstana Alam Shah, Klang dengan menjemput kira-kira 8,000 rakyat.
“Ini terdiri daripada rakyat beta, golongan anak yatim, golongan orang kurang upaya, pegawai kerajaan yang masih berkhidmat di Selangor serta pesara kerajaan termasuk anggota tentera, polis dan bomba yang telah menyumbang bakti kepada kemajuan, kemakmuran dan keamanan Selangor,” titah baginda.
Dalam masa sama. baginda turut mencadangkan Sukan Malaysia (Sukma) XX11 yang dianjurkan di Selangor turut ditangguhkan.
Kerajaan negeri dijangka dapat menjimatkan sehingga RM100 juta bagi perbelanjaan jika Sukma XXII ditangguhkan.
Perbelanjaan tersebut meliputi tiga komponen utama, iaitu pembangunan dan naik taraf kemudahan sukan, persediaan atlet dan jurulatih serta penglibatan komuniti dan kesukarelawanan.
Baginda bertitah, peruntukan yang diperlukan adalah sangat tinggi dan mencadangkan sukan dwi tahunan itu ditangguhkan berdasarkan keadaan ekonomi semasa sehingga konflik Israel-Amerika Syarikat dengan Iran berakhir dan Stadium Shah Alam siap. – UTUSAN










