SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan adalah platform terbaik menyelesaikan kemelut di negeri ini dan menjernihkan semula kekeruhan yang melanda.
Tokoh adat dan budaya, Tan Sri Rais Yatim berkata, institusi berkenaan mampu menggerakkan kembali muafakat yang telah terjalin sejak sekian lama hingga membawa kemajuan dan kemakmuran kepada negeri ini.
Jika tidak, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memberi amaran, isu yang tidak ditangani berada pada tahap was-was dan menimbulkan banyak risiko sosial budaya, adat, istiadat dan Perlembagaan negeri ini.
“Yang lebih membimbangkan penghargaan dan rasa hormat rakyat terhadap para pemimpin adat termasuk peringkat tertinggi akan berkurangan dan menghilang jika isu-isu ini tidak diadili sebaiknya menuruti sistem yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemelut susulan tindakan Undang Yang Empat mengisytiharkan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir diturunkan takhta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.
Rais memberitahu, kemelut tersebut kini menjurus kepada dua aspek perkembangan yang wajib diteliti daripada sudut perundangan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dan tidak harus dipermainkan menerusi aluran-aluran lain seperti politik, sosial atau budaya.
Jelasnya, aspek pertama adalah sama ada tindakan Dewan Keadilan dan Undang melucutkan jawatan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak sah atau pun sebaliknya.
“Saya berani mengatakan tindakan itu tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan negeri selepas meneliti UUTKNS sejak 50 tahun lalu.
“Sebab utama adalah tiga orang Undang Luak tidak hadir dalam sidang khas itu kerana tidak diberi tempoh yang cukup untuk hadir. Yang hadir cuma Undang Luak Johol,” ujarnya.
Katanya, tindakan melucutkan jawatan itu boleh dipertikaikan oleh kerana ia tidak memenuhi satu lagi syarat iaitu Undang luak hendaklah diputuskan turun naiknya oleh Dato’ Lembaga Delapan atau ahli-ahli lembaganya sendiri dan bukan hanya sekadar ibu soko.
Menurutnya, ibu soko tidak ada kena mengena dalam pemecatan seseorang Undang luak kerana keputusan akhir terletak kepada Dato’ Lembaga Delapan selepas berunding dengan anak buah, ibu soko dan buapak masing-masing.
“Ini perlu difahami oleh semua pihak di negeri ini. Jika keputusan ibu soko dianggap sah maka ini jelas menunjukkan Dewan Keadilan dan Undang sebenarnya tidak faham adat,” katanya.
Beliau berkata, perkara kedua yang berbangkit daripada kemelut itu adalah tindakan Undang Yang Empat menandatangani pengisytiharan melucutkan jawatan Tuanku Muhriz berkuatkuasa serta merta.
Tambahnya, tindakan itu perlu disertakan dengan laporan lengkap mengandungi bukti salah laku yang dilakukan Tuanku Muhriz yang mendorong pemecatan itu dibuat.
Rais merumuskan jalan terbaik menyelesaikan kemelut itu ialah Dewan Keadilan dan Undang wajib bersidang semula membincangkan isu pemberhentian jawatan Mubarak dan perlucutan jawatan Tuanku Muhriz. – UTUSAN









