IPOH: Syarikat atau individu yang mengeluarkan hasil galian tanpa lesen di negeri ini boleh ditangkap dan didakwa di mahkamah.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mengikut Enakmen Mineral Negeri Perak 2003 pindaan 2013, mana-mana orang yang didapati memindahkan mineral tanpa lesen boleh didenda maksimum RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Kita ada akta, pertama sudah tentu mereka akan ditangkap dan akan dibicarakan dan ada denda. Kita juga ada undang-undang yang membolehkan kita denda mereka kerana telah mengeluarkan hasil galian tanpa lesen,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerja-kerja tanah dan pengorekan pasir yang dilakukan pihak tertentu berhampiran kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang, Segari.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, beliau berkata, tanah berkenaan merupakan hak milik persendirian dan pihak tersebut mempunyai kebenaran untuk masuk ke tanahnya.
Bagaimanapun, pihak terbabit tidak mempunyai kebenaran untuk membawa keluar pasir di kawasan tersebut kerana tidak mempunyai lesen.
“Setakat ini Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tidak pernah mengeluarkan lesen kepada sesiapa pun untuk mengambil pasir di situ,” katanya.
Semalam, dua persatuan alam sekitar menggesa Menteri Besar bertegas dan campur tangan bagi menghentikan kerja-kerja tanah dan pengorekan pasir di lokasi berkenaan.
Tinjauan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) semalam mendapati kerja-kerja mengambil pasir pantai semakin rancak dijalankan bukan sahaja pada waktu siang tetapi juga malam, walaupun pihak berkuasa daerah telah berkali-kali mengarahkan agar aktiviti itu dihentikan dengan arahan terbaharu pada 3 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE










