KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperkasa bantuan kepada golongan bumiputera namun kebajikan rakyat miskin daripada pelbagai kaum juga tidak akan diabaikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nasib semua rakyat yang susah dan miskin perlu dibantu bersama sebagai satu keluarga besar Malaysia.
“Saya juga anak bumiputera dan saya menyokong program untuk membantu bumiputera.
“Tapi tak bolehkah dalam negara ini, sementara kita mahu membantu anak Melayu dan bumiputera, kita juga fikir semua anak kita yang susah, miskin dan memerlukan bantuan untuk dibantu bersama sebagai satu keluarga besar Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Hari Wesak dan Harmoni Madani anjuran Majlis Perundingan Buddhis Malaysia (MBCC) hari ini.
Anwar berkata, Malaysia Madani dibina berasaskan nilai kemanusiaan, moral dan etika yang berpaksikan ajaran agama serta saling menghormati masyarakat majmuk.
Katanya, negara memilih untuk tampil unik di persada global dengan meletakkan aspek nilai, etika dan moral sebagai teras pembangunan negara di sebalik keghairahan mengejar kemajuan teknologi moden. – UTUSAN










