JOHOR BAHRU: Kedudukan PKR di Johor kekal kukuh walaupun terdapat dakwaan pemimpin dan ahli parti itu bertindak keluar parti dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, parti itu tidak pernah dibina atas kekecewaan mana-mana individu yang tidak mendapat jawatan.
“Ssebaliknya atas dasar perjuangan reformasi menentang kezaliman, rasuah serta mempertahankan keadilan demi rakyat.
“PKR akan terus kekal berdiri atas sokongan rakyat marhaen, anggota di bawah dan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan hari ini.
“Kekuatan PKR tidak pernah bergantung hanya kepada seorang dua tokoh. Perjuangan reformasi ini terlalu besar untuk diganggu oleh tindakan individu tertentu yang meletakkan kepentingan peribadi mengatasi agenda membela rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ketua PKR Cabang Pulai itu, pihaknya bagaimanapun tetap menghormati keputusan mana-mana individu yang memilih haluan politik berbeza kerana ia sebahagian daripada proses demokrasi negara.
“Selamat maju jaya buat teman-teman yang telah memilih haluan berlainan. Kita jumpa di medan pesta demokrasi negara,” katanya.
Sebelum ini, bekas Ketua PKR Cabang Kluang, Abd. Hamid Ali mendakwa hampir 30 peratus daripada kira-kira 2,800 ahli baharu Bersama di negeri ini terdiri daripada ahli dan pimpinan PKR akar umbi.
Abd. Hamid dilaporkan berkata, keputusan meninggalkan PKR dan menyertai Bersama dibuat setelah hilang keyakinan terhadap ketelusan PKR khususnya ketika proses pemilihan parti, tahun lalu.-UTUSAN.










