KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu menolak politik kebencian dan perpecahan demi memastikan negara terus aman, maju serta dihormati dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sudah tiba masanya golongan majoriti yang cintakan keamanan dan keharmonian tampil bersuara mempertahankan nilai kemanusiaan, kasih sayang serta perpaduan antara kaum dan agama.
Katanya, Malaysia sejak awal penubuhannya dibina atas dasar kepelbagaian kaum dan agama, justeru prinsip saling menghormati perlu terus diperkukuhkan dalam kerangka Malaysia Madani.
“Cukuplah politik kebencian dan perpecahan. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menentukan arah negara ini dengan hati nurani, kasih sayang dan semangat hormat sesama manusia,” katanya ketika berucap pada Program Sambutan Hari Wesak dan Harmoni Madani anjuran Majlis Perundingan Buddhis Malaysia (MBCC) hari ini.
Anwar berkata, konsep Madani bukan sekadar menumpukan pembangunan ekonomi, teknologi, digital dan kecerdasan buatan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan terhadap nilai, etika dan moral yang berpaksikan ajaran agama.
“Kita mahu pembangunan, inovasi dan teknologi tetapi dalam masa sama kita mesti kekal manusiawi dengan nilai belas ihsan, hormat dan kasih sayang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agama tidak pernah mengajar kebencian sebaliknya menyeru manusia mengamalkan sifat rahmah, belas kasihan dan keamanan.
“Dalam Islam misalnya, kita diajar tentang rahmah dan kasih sayang. Dalam ajaran Buddha pula ada konsep metta dan karuna. Tetapi malangnya hari ini yang sering ditonjolkan ialah kebencian dan permusuhan,” katanya.
Perdana Menteri turut mengakui wujud segelintir pihak yang memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Katanya, golongan minoriti yang ekstrem tidak seharusnya dibenarkan menguasai suara majoriti rakyat yang cintakan keamanan.
“Saya percaya majoriti rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain mahukan negara yang aman, stabil dan berjaya,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan akan terus memfokuskan kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan, meningkatkan mutu pendidikan serta menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, kerajaan sentiasa bekerja keras mencari jalan terbaik untuk membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi semasa termasuk kesan konflik geopolitik dunia.
“Tak bolehkah kita bantu semua rakyat yang susah tanpa mengira kaum sebagai satu keluarga besar Malaysia?
“Saya yakin Malaysia akan terus berjaya jika rakyat memilih jalan damai, hormat dan kasih sayang,” katanya. – UTUSAN










