KL ikut jejak Paris warta had laju 30km/j - Utusan Malaysia

KL ikut jejak Paris warta had laju 30km/j

SURET Singh (dua dari kiri) bertukar cenderamata dengan Mahadi Che Ngah (dua dari kanan) di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – DBKL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas ibu kota Perancis, Paris mewartakan had laju maksimum 30 kilometer sejam (km/j) pada 30 Ogos tahun lalu, Kuala Lumpur pula bakal mengikut jejak yang sama.

Demikian dibayangkan Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Datuk Suret Singh menerusi ciapan dalam akaun sosial Twitter beliau baru-baru ini susulan hasil kunjungan hormat beliau ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah di pejabatnya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) minggu lalu.

“Miros dan DBKL akan bekerjasama untuk menjadikan had laju 30 km/j dilaksanakan zon tertentu manakala 50 km/j di kawasan lain bakal menjadi kenyataan,” jelas ciapan tersebut.

Difahamkan, kerjasama dua badan awam itu bakal melibatkan usaha mengenal pasti jalan raya yang bersesuaian untuk pewartaan had kelajuan maksimum bagi kenderaan berkenaan.

Paris tahun lepas menjadi kota raya yang ketiga di Perancis telah berbuat demikian selepas Grenoble dan Lille, selain bandar Bilbao di Sepanyol dan ibu negara Belgium, Brussels. Langkah Paris itu diperkenalkan Datuk Bandarnya, Anne Hidalgo dalam usaha menggalakkan warga kota menaiki pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan pencemaran udara.

Usaha yang dkritik banyak pihak seolah-olah kembali ke era awal abad ke-20 itu antara sebahagian persiapan menjelang temasya terbesar dunia, Olimpik Musim Panas Paris 2024.

Mengulas lebih lanjut, Suret berkata, sebelum pewartaan laluan yang terlibat, kamera litar tertutup (CCTV) perlu dipasang untuk merakam kesalahan trafik pemandu melebihi had laju itu dan Miros dalam peringkat akhir merangka had standard maksimum 30 km/j bagi semua kawasan perumahan tidak kira sama ada di bandar dan kampung.

Berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Perintah Had Laju Bandaraya Kuala Lumpur 1989), pemanduan dalam kawasan pusat bandar ditetapkan sehingga maksimum 50 km/j, namun Jadual Pertama, Kedua dan Ketiga yang melibatkan laluan utama tertentu diwartakan oleh pihak berkuasa dibolehkan pemanduan masing-masing 60, 70 dan 80 km/j.

Malaysia antara negara yang meratifikasi Deklarasi Stockholm hasil Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai keselamatan jalan raya di ibu kota Sweden itu pada 2020.

Sejumlah 80 menteri pengangkutan yang menghadiri acara tersebut berikrar mengurangkan sehingga separuh bilangan kes kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2030 dan turut dicadangkan ialah penetapan had laju 30 km/j sebagai norma baharu di kawasan lazim digunakan bersama penunggang motosikal dan basikal pemandu kereta serta pejalan kaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya