Kertas putih Kementerian Kesihatan disedia, reformasi sistem kesihatan negara - KJ - Utusan Malaysia

Kertas putih Kementerian Kesihatan disedia, reformasi sistem kesihatan negara – KJ

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu kertas putih Kementerian Kesihatan bakal disediakan bagi membolehkan reformasi sistem kesihatan negara dapat direalisasikan pada masa depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan itu telah dimaklumkan kepada Bahagian Perancangan Kementerian Kesihatan untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan sokongan kedua-dua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Kertas putih ini adalah untuk mereformasikan sistem penjagaan kesihatan. Jika diluluskan Kabinet, Kementerian Kesihatan akan mengadakan dialog dan sesi libat urus serta dibentangkan di Parlimen.

“Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan ditubuhkan bagi melaksanakan gerakan pembaharuan yang boleh bertahan lebih lama daripada penyandang menteri,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya.

Beliau mengulas intipati ucapannya dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2022, yang baru sahaja disiarkan hari ini.

Dalam ucapannya, Suruhanjaya Reformasi Kesihatan bertanggungjawab kepada Parlimen dan menjadi badan pelaksana kepada segala perubahan dan reformasi yang telah pun dipersetujui bersama dalam kertas putih.

“Ini bagi memastikan apabila menteri baharu datang, tidak akan ada apa-apa perubahan, sebab kementerian dan menteri fokus kepada dasar dan pelaksanaan dasar,” katanya.

Katanya, sistem kesihatan negara perlu diperkasakan dengan memastikan segala keperluan kesihatan awam dipenuhi menerusi peruntukan sewajarnya dalam memastikan negara bersedia dalam menghadapi sebarang situasi luar jangka dan beban terhadap sistem kesihatan dalam jangka panjang.

Namun, katanya, reformasi dalam sistem kesihatan negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek peruntukan, sebaliknya perlu melibatkan pembiayaan yang perlu dihadapi rakyat terhadap penjagaan kesihatan.

“Apakah kita masih mengamalkan sistem subsidi untuk semua tanpa mengira pendapatan, ataupun kita akan beralih kepada satu sistem di mana mereka yang mampu bayar, boleh bayar lebih sedikit daripada apa yang mereka bayar sekarang,” katanya.

Pada masa sama, Khairy berhasrat melihat hospital awam di Malaysia dilengkapi teknologi 5G dan menjadi rujukan kepada hospital-hospital di kawasan luar bandar yang juga boleh menggunakan 5G bagi melaksanakan prosedur-prosedur yang selama ini tidak boleh digunakan kerana ketiadaan teknologi 5G.

“Saya mahu supaya hospital dan kemudahan-kemudahan kita lebih mesra alam sekitar menggunakan teknologi hijau. Banyak bangunan baharu kita telah memenangi indeks bangunan hijau dan sebagainya, tetapi sebagai sebuah kementerian, kita perlu komited untuk lebih lestari,” katanya.

Tambah Khairy, kementerian juga seharusnya terlibat dalam pembangunan industri berkenaan secara menyeluruh dan jelas, yang melibatkan farmaseutikal, peralatan dan pelancongan kesihatan.

“Saya mahu Institut Kesihatan Negara (NIH) menjadi pusat kecemerlangan antarabangsa, di mana bukan hanya kajian-kajian yang dihasilkan boleh diguna pakai di Malaysia, tetapi menjadi rujukan kepada negara-negara lain.

“Saya juga ingin memberi fokus kepada Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) dari segi penyelidikan. TCM adalah satu perkara yang dekat dengan hati masyarakat kita tetapi perlu lebih diarusperdanakan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, beliau mahu memperkukuh lagi peranan Malaysia di peringkat antarabangsa, terutamanya mengambil pengajaran daripada pandemik Covid-19 dan kepentingan rangkaian antarabangsa untuk mempelajari kaedah baharu bagi mengurus pandemik dan kesihatan awam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya