LONDON: Pelakon terkenal Hollywood, Anne Hathaway, sekali lagi menjadi perhatian ramai selepas menerima hadiah sebuah al-Quran daripada seorang peminat ketika menghadiri tayangan perdana filem The Devil Wears Prada 2 di London, Rabu lalu.
Sebelum ini, Anne tular di media sosial selepas menyebut ungkapan Insya-Allah dalam satu sesi wawancara, sekali gus mencuri perhatian netizen khususnya dalam kalangan umat Islam.
Pada acara tayangan perdana tersebut, Anne tampil anggun mengenakan gaun biru gelap rekaan Versace, manakala rambutnya digayakan secara ponytail yang menyerlahkan penampilan elegannya.
Selain berjalan di karpet merah dan bergambar bersama pihak media, pelakon berusia 43 tahun itu turut meluangkan masa beramah mesra dengan para peminat yang hadir serta menandatangani autograf.
Salah seorang peminat kemudian dilihat menghadiahkan sebuah Al-Quran kepada Anne, yang diterimanya dengan penuh sopan dan terbuka.
Menerusi rakaman yang tular, pengawal peribadinya dilihat cuba mengambil kitab suci tersebut, namun Anne memilih untuk memegangnya sendiri.
“Ini Al-Quran untuk awak kerana saya melihat video awak menyebut insya-Allah. Terima kasih kerana mengucapkan kalimah itu,” kata peminat berkenaan.
“Terima kasih, awak sangat baik,” balas Anne sambil tersenyum.
Sebelum ini, petikan wawancara Anne bersama People menjadi tular apabila dia menyebut ungkapan Insya-Allah yang membawa maksud ‘jika Allah mengizinkan’.
Dalam wawancara itu, Anne ditanya mengenai cara beliau berdepan proses penuaan. Menurutnya, dia tidak berasa takut, sebaliknya melihat kehidupan masih berjalan seperti biasa, cuma kini lebih menitikberatkan soal kesihatan.
“Kita perlu lebih serius dalam menjaga kesihatan. Selain itu, semuanya masih sama, bukan?” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu kini lebih memberi fokus untuk menikmati kehidupan dan berharap dapat terus menjalani hidup yang panjang serta sihat.
“Saya hanya berharap dapat terus hidup dan menikmati kehidupan. Saya mahu memiliki kehidupan yang panjang dan sihat. Insya-Allah, saya berharap begitu,” ujarnya.
Tindakannya menyebut ungkapan tersebut terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen yang terkejut mendengar selebriti Hollywood itu menggunakan lafaz yang sinonim dengan umat Islam.










