Majikan swasta perlu pertimbang aturan kerja fleksibel

Majikan swasta perlu pertimbang aturan kerja fleksibel

FADILLAH Yusof menyampaikan Anugerah Perdana HASiL Tahun 2025 kepada penerima pada Majlis Sambutan Hari LHDN Ke-30 Tahun 2026 di Ibu Pejabat LHDN, Cyberjaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru majikan swasta agar mempertimbangkan aturan kerja fleksibel seperti dilaksanakan sektor awam termasuk melalui amalan Bekerja Dari Rumah (BDR).

Perdana Menteri berkata, perkara itu penting demi mengurangkan penggunaan bahan api, meredakan tekanan kos, serta mengekalkan produktiviti dan moral tenaga kerja.

“Dalam menghadapi risiko tekanan kos, majikan juga wajar lebih anjal dan pragmatik dalam mengurus operasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari LHDN Ke-30 Tahun 2026 di sini hari ini.

Teks ucapan Anwar dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Dalam pada itu, Anwar berkata, sektor swasta tidak boleh kekal selesa dengan kaedah lama dalam dunia yang telah berubah.

“Sebaliknya, inilah masanya untuk mempercepatkan peningkatan produktiviti, meningkatkan pelaburan dalam inovasi serta automasi, dan mencambah nilai tambah serta kemampanan,” katanya.

Katanya, kerajaan telah menyediakan kerangka Ekonomi MADANI serta dasar yang jelas untuk mengangkat martabat dan harakat negara.

Jelasnya lagi, sektor swasta mesti memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang dibuka oleh ikhtiar reformasi ini.

“Segala aspirasi ini tidak akan menjadi nyata tanpa iltizam bersama untuk melaksanakannya dengan sepenuh jiwa,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, dunia kini sedang berdepan dengan ketidaktentuan yang serius angkara konflik yang terus meruncing di Asia Barat dan ia telah mengancam kestabilan serantau.

“Kesannya kepada negara nyata jikalau krisis ini tidak dileraikan dalam masa terdekat, negara akan terdedah kepada kesan ekonomi yang lebih sistemik, umpamanya: kos logistik meningkat, tekanan harga terus memuncak, dan gangguan kepada sektor pembuatan,” katanya.

Katanya, keadaan ini menjadikan pengurusan hasil serta perbelanjaan negara lebih kritikal daripada sebelumnya.

Dalam saat mencabar ini, katanya, seluruh jentera Kerajaan mesti memperkukuh tatakelola; setiap ringgit mesti dibelanjakan dengan berhemah, ruang ketirisan mesti ditutup dan usaha memperluas asas hasil serta meningkatkan pematuhan mesti dipergiat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×