KLANG: Kerajaan Selangor mempertimbangkan pelbagai alternatif termasuk pembinaan terowong saluran air bagi mengelak kejadian banjir buruk berulang di beberapa kawasan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, segala cadangan tersebut diutarakan semasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.
“Kita telah buat dua (mesyuarat khas) Exco iaitu pada 30 Disember dan semalam (6 Januari) bagi membincangkan jalan penyelesaian berhubung isu ini. Segala cadangan seperti pembinaan ban, terowong pintar, kolam takungan air yang dalam serta mendalamkan beberapa buah sungai telah diutarakan.
“Semua cadangan ini akan dibentangkan dalam Retreat Exco Selangor pada Februari nanti,” katanya selepas majlis penyampaian Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Amirudin menyampaikan BSB kepada 21 mangsa banjir, termasuk tiga mangsa yang menerima wang tunai RM10,000 kerana ahli keluarga mereka terkorban dalam bencana itu.
Sementara itu menurutnya, seramai 15,000 mangsa banjir di seluruh Selangor telah menerima wang bantuan BSB.
“Sebahagian besar mangsa yang mendapat perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri telah menerima BSB. Saya menjangkakan, jumlah pemohon bantuan ini akan bertambah memandangkan kita masih lagi membuka permohonan BSB,” katanya.
Beliau juga telah meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor supaya fokus kepada program pemberian BSB, bagi memastikan semua mangsa mendapat bantuan tersebut.










