Kementerian Pendidikan arah PPD lapor perkembangan kes Covid-19 di sekolah - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan arah PPD lapor perkembangan kes Covid-19 di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan mengarahkan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk melaporkan perkembangan semasa kes Covid-19 di sekolah bagi mengawal penularan jangkitan di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, laporan sebegitu penting bagi memastikan kementeriannya dapat memantau jangkitan Covid-19 di sekolah sehingga wujud kluster-kluster tertentu.

Malah, kementerian berkenaan turut meminta PPD berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan sekiranya berlaku peningkatan kes di sekolah agar keadaan dapat dikawal dengan sebaik mungkin.

“Walau bagaimanapun, kita sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang cukup ketat di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan termasuk di sekolah-sekolah.

“Jika ada peningkatan kes, kita akan semak pendekatan terbaik menerusi perbincangan dengan Kementerian Pendidikan dan  Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang media semasa program jualan Keluarga Malaysia di Pekan Bongawan semalam.

Menurut beliau, keperluan mengadakan semula sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan disemak dan dikaji berdasarkan laporan semasa Covid-19.

Sehingga semalam, tiga kluster institusi pendidikan dilaporkan di tiga asrama sekolah di Sabah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan, SMK Ranau dan SMK Sandakan.

Mengulas lanjut katanya, KPM juga akan mengumumkan keputusan pemberian vaksin kepada pelajar 12 tahun dan ke bawah dalam masa terdekat.

Jelas beliau, perkara ini masih dalam perbincangan akhir maka, sebarang keputusan dan pengumuman akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, kebajikan dan keselamatan murid dan pelajar sentiasa dipantau dan diberi keutamaan.

Susulan insiden murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapon, Pitas yang bersesak dalam perahu kecil tanpa jaket keselamatan, perkara itu akan dirujuk kepada agensi berkaitan.

“Kes ini di luar bidang kuasa Kementerian Pendidikan kerana berlaku di luar kawasan sekolah. Kementerian Pendidikan hanya bertanggungjawab dalam kawasan sekolah atau mana-mana institusi pendidikan.

“Apa-apa berlaku di luar sekolah, kita serah kepada pihak berkaitan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya