Kapal tangki Jerman berlabuh secara haram ditahan - Utusan Malaysia

Kapal tangki Jerman berlabuh secara haram ditahan

KAPAL tangki dari Jerman yang berlabuh secara haram di perairan negara ditahan untuk siasatan lanjut. - IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 30.7 batu nautika tenggara Pulau Jarak, dekat sini kelmarin.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal VS Glory Douglas sepanjang 171.20 meter yang berdaftar di Jerman itu dikesan pada pukul 11.15 pagi, dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kapal tersebut yang dikendalikan seorang nakhoda dibantu 18 kru terdiri daripada warga Russia, Ukraine, Romania dan Filipina berumur lingkungan 28 hingga 63 tahun dikesan berlabuh secara haram melalui cerapan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 Menurut Shahrizan, kapal tersebut  ditahan di bawah Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tegasnya, kesemua kru bersama kapal ditahan di ‘titik tenggara’ (South East Point) (SEP) Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam pada itu, pada hari yang sama, Kapal Maritim (KM) Nyalau menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C di posisi 6.2 batu nautika timur Pulau Jarak sekitar pukul 5.40 petang kerana menangkap ikan kurang 12 batu nautika dari daratan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN