KUNDASANG: Kerajaan memperluas kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara bermula 1 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu.
Katanya, kerajaan turut bersetuju memperluas manfaat subsidi diesel melalui SKDS kepada kenderaan jip dan pikap yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu tertakluk kepada kelulusan pertukaran pendaftaran kenderaan kepada syarikat.
“Sebelum ini kelayakan bagi kenderaan jenis berkenaan hanya diberikan di kawasan Cameron Highlands.
“Pengguna individu yang terbabit dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan mendaftarkan syarikat atau perniagaan masing-masing dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak mengikut peruntukan undang-undang negeri.
“Selain itu, pemohon juga perlu memenuhi syarat kelayakan lain termasuk memindahkan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya ketika sidang media berkaitan penambahbaikan mekanisme pelaksanaan SKDS hari ini.
Armizan berkata, kerajaan juga akan melaraskan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan sebagai langkah memperkukuh mekanisme kawal selia dan penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan subsidi serta penyalahgunaan fleet card.
Katanya, setiap fleet card akan diberikan kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bergantung kepada had kuota yang ditetapkan untuk 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.
“Jumlah had kuota ini ditetapkan berdasarkan analisis penggunaan jenis pengangkutan dalam tempoh dua tahun pelaksanaan SKDS. Pelarasan kadar kuota tetap bagi setiap fleet card akan berkuat kuasa 1 Jun ini.
“Bagi syarikat yang memerlukan penggunaan melebihi had ditetapkan, rayuan pertambahan kuota boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum yang diurus setia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kementerian menggalakkan syarikat dalam sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air yang belum menikmati subsidi petrol dan diesel supaya membuat pendaftaran di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan SKDS.
Menurutnya, semua syarikat yang menerima manfaat subsidi bahan api melalui SKPS dan SKDS perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan fleet card yang diperoleh daripada syarikat minyak.
“Sebarang penyalahgunaan akan menyebabkan fleet card digantung serta-merta dan syarikat terlibat akan disenarai hitam.
“Setakat 20 Mei lalu, sebanyak 179,716 syarikat melibatkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, sektor pengangkutan darat barangan dan sektor pengangkutan awam air yang layak telah menerima manfaat subsidi petrol dan diesel.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 19,189 syarikat melibatkan 38,817 kenderaan menerima manfaat di bawah SKPS manakala 160,527 syarikat dengan 393,678 kenderaan menerima manfaat menerusi SKDS,” katanya. – UTUSAN








