110 bas bawa penyokong JDT ke Bukit Jalil sempena final Piala Malaysia - Utusan Malaysia

110 bas bawa penyokong JDT ke Bukit Jalil sempena final Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gelombang biru merah dijangka kembali menggegarkan TM Stadium Nasional di Bukit Jalil apabila lebih 30,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal hadir memberi sokongan dalam final Piala Malaysia menentang Kuching City FC, malam ini.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong JDT, Mohd. Fadzli Sapie berkata, setakat ini sebanyak 110 buah bas dari Johor Bahru telah disediakan bagi membawa penyokong ke ibu negara untuk membakar semangat pemain.

Katanya, penyokong JDT yang hadir bukan sahaja dari negeri ini, tetapi juga dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain.

“Setiap kali JDT beraksi di final, sambutan penyokong memang luar biasa. Kali ini kami jangka lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan akan hadir memenuhi stadium bagi memberikan sokongan sepenuhnya kepada pasukan.

“Penyokong bukan sahaja datang untuk menyaksikan perlawanan, tetapi mahu menjadi pemain ke-12 yang mampu menaikkan semangat pasukan untuk menjulang trofi,” katanya ketika ditemui pemberita, di Stadium Larkin, di sini pagi tadi.

Sementara itu, seorang penyokong, Zalikha Ibrahim, 47, berkata, dia bersama suami dan dua anaknya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan aksi final Piala Malaysia itu secara langsung buat kali pertama.

“Memang teruja sebab ini kali pertama kami tengok final di Bukit Jalil. Sebelum ini kami lihat JDT beraksi di Stadium Sultan Ibrahim sahaja. Anak-anak pun tidak sabar mahu rasai suasana lautan penyokong dalam stadium besar.

“Saya yakin JDT mampu menang 3-1 kerana pasukan kini berada pada prestasi terbaik,” katanya.

Seorang lagi penyokong Ahmad Khamal Yusof, 50, pula mengakui dia sudah lebih lima kali hadir menyaksikan aksi final membabitkan Harimau Selatan di Bukit Jalil.

“Kalau JDT masuk final, memang saya akan cuba hadir. Sokongan penyokong amat penting kerana pemain akan lebih bersemangat apabila melihat stadium dipenuhi penyokong sendiri.

“Kami harap JDT dapat sekali lagi menjulang Piala Malaysia dan terus melakar sejarah dalam bola sepak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN