PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan akan diberi kuasa menutup premis makanan yang terbukti menyediakan makanan mengandungi bahan memudaratkan kesihatan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 yang diluluskan Dewan Rakyat.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pindaan itu turut membolehkan maklumat mengenai produk makanan yang memudaratkan kesihatan disiarkan kepada orang awam tanpa perlu menunggu perintah mahkamah.
Menurut kementerian, pindaan Akta Makanan 1983 [Akta 281] penting bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan susulan cabaran semasa yang memerlukan perlindungan lebih menyeluruh terhadap pengguna.
“Peruntukan sedia ada di bawah Akta ini dilihat tidak lagi dapat menampung cabaran semasa keselamatan makanan untuk melindungi kesihatan rakyat.
“Oleh itu, pindaan Akta 281 amat relevan bagi memperkukuh aspek kawalan keselamatan makanan serta melindungi hak dan kepentingan rakyat untuk mendapatkan makanan yang selamat di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, RUU berkenaan dibentangkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan diluluskan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, baru-baru ini.
Selain itu, KKM berkata, kawalan terhadap bahan yang bersentuhan dengan makanan, termasuk sarung tangan dan plastik pembungkusan makanan, akan turut diperkukuh berikutan bahan berkenaan sebelum ini tidak dikawal secara menyeluruh.
“Selain itu, pindaan berkenaan merangkumi pengukuhan aktiviti penguatkuasaan serta kajian semula kadar penalti bagi memastikan peruntukan undang-undang itu terus relevan dengan keperluan semasa.
“Akta Makanan 1983 yang bertujuan melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan berpunca daripada makanan serta penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan tidak pernah dikaji secara menyeluruh sejak diwartakan 43 tahun lalu,” katanya.
RUU Makanan (Pindaan) 2026 seterusnya akan dibahaskan di Dewan Negara pada penggal yang sama.
Antara pindaan utama ialah pengukuhan kuasa Ketua Pengarah Kesihatan untuk menangani produk makanan yang memudaratkan kesihatan, termasuk menutup premis yang terbukti menyediakan makanan mengandungi bahan berbahaya. –UTUSAN











