Kanak-kanak lapor jumpa ular sawa derita talasemia - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lapor jumpa ular sawa derita talasemia

MUHAMMAD Haziq Mohd. Asyraf meminati bidang masakan dan bercita-cita menjadi seorang chef. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Di sebalik kepetahannya bertutur, kanak-kanak yang ‘popular’ selepas videonya melaporkan penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau dekat sini, baru-baru ini, adalah penghidap talasemia.

Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, disahkan menghidap penyakit itu pada usia lima tahun dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini secara berkala.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau itu berkata, keadaan kesihatannya tidak menentu dan perlu mengambil ubat selain makanan tambahan asid folik setiap hari.

“Saya juga pernah masuk wad hospital dan buat pemindahan darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau di sini, semalam.

Muhammad Haziq kemudian dibawa menaiki van Jabatan Penerangan bagi membuat hebahan mengenai pemberian vaksin Covid-19 dalam program ‘Info On Wheels’.

Katanya, walaupun menghidap penyakit tersebut, dia tidak menjadikannya penghalang untuk bergerak aktif seperti kanak-kanak normal lain.

“Cuma saya rasa cepat letih tetapi apa yang penting saya perlu jaga kesihatan dengan ambil asid folik seperti diminta doktor,” ujarnya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik.

Ketika ditanya tentang penerimaan orang ramai selepas videonya itu tular, kata Muhammad Haziq, dia berasa seronok kerana semakin popular dan dikenali ramai.

“Semasa saya pergi dapatkan rawatan di hospital semalam, orang ramai termasuk jururawat nak ambil gambar dengan saya. Saya rasa seperti artis, ke mana pergi pun orang kenal tapi saya kena ingat bahawa bila dah jadi terkenal saya tidak boleh sombong,” katanya lagi.

Menurutnya, dia mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang chef dan mempunyai bakeri sendiri.

“Saya memang suka masak, hari-hari saya akan masak. Pernah juga saya terima tempahan burger Malaysia daripada kakitangan hospital,” ujarnya.

Selain itu katanya, impiannya yang belum tercapai ialah menaiki jentera bomba.

“Saya memang suka tengok video-video tentang bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan ambulans di YouTube,” tambahnya.

Sementara itu ibunya, Shakilla Zainol, 33, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pihak istana memaklumkan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan untuk menghadiahkan anaknya telefon bimbit.

“Selain itu, APM juga memaklumkan mahu memberikan sijil penghargaan buat Haziq dalam satu program di Langkawi,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan aksi bersahaja seorang kanak-kanak lelaki ‘melaporkan’ secara langsung penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau menerusi akaun Facebooknya menarik perhatian ramai.

Video berdurasi dua minit 47 saat itu memaparkan keletah Muhammad Haziq berkongsi cerita berhubung penemuan reptilia tersebut di dalam longkang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya