BELURAN: Keseronokan aktiviti mandi-manda di sungai bertukar sebaliknya setelah seorang kanak-kanak dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di sungai di Ladang Man Coon, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Mohd. Ridwan Suprianto Mohd. Aidil yang berusia empat tahun dilaporkan hilang semasa mandi di sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kanak-kanak lemas pada pukul 5.15 petang dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi didapati seorang kanak-kanak hilang semasa melakukan aktiviti mandi-manda di sungai di kawasan ladang berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa hilang sejak 2.30 petang namun, laporan yang dibuat hanya pada pukul 5 petang.
“Kehilangan mangsa disedari oleh ayahnya yang menemukan selipar mangsa yang tertinggal di tepi sungai,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula dijalankan semalam namun, terpaksa ditangguhkan pada pukul 6.40 petang kerana keadaan semakin gelap.
Operasi SAR diteruskan semula pada pukul 6.53 pagi ini. Operasi ini disertai seramai 30 orang anggota dan orang awam termasuk pasukan penyelamat di air (PPDA).










