Kaji semula prestasi operator tapak pelupusan sampah Pulau Burung 

Kaji semula prestasi operator tapak pelupusan sampah Pulau Burung 

R. MEENAKSHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri dan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini mengkaji semula prestasi operator tapak pelupusan sampah Pulau Burung susulan kejadian kebakaran di tapak berkenaan. 

Presidennya, R. Meenakshi berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil untuk mengelakkan sebarang insiden yang membahayakan masyarakat atau kejadian yang mencemarkan alam sekitar berulang. 

“Asap toksik yang menyelubungi kawasan sekitar telah menyebabkan pemindahan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berhampiran kerana boleh merisikokan kesihatan mereka. 

“Kami menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Seberang Perai (MBSP) mengkaji semula prestasi operator tapak pelupusan sampah Pulau Burung, dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan di sini semalam. 

Menurut Meenakshi, pihaknya difahamkan bahawa tapak pelupusan sampah itu telah terbakar beberapa kali pada tahun lepas dan sebelum ini. 

Malah, katanya, terdapat aduan air larut resapan yang melimpah dari tapak pelupusan tersebut yang seterusnya mencemarkan perairan dan turut menyebabkan kerosakan pada hutan bakau berhampiran. 

“Daripada rentetan masalah yang dihadapi, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terperinci ke atas operasi syarikat ini,” katanya. 

Dalam pada itu tambah beliau, SAM juga  bimbang jika operator insinerator akan mula memujuk kerajaan negeri dengan teknologi mereka. 

“Teknologi sebegini telah ditayangkan sebagai penyelesaian kepada masalah pelupusan sisa. Tetapi sebenarnya, penunuan atau insinerator juga memerlukan ruang tapak pelupusan untuk membuang abu dasar dan abu terbang yang lebih toksik dan seharusnya menjalani proses penstabilan sebelum disimpan di tapak sisa berbahaya,” katanya. 

Tambahnya, SAM berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak terpengaruh dengan cadangan insinerator kerana data saintifik telah membuktikan teknologi itu penuh dengan risiko kepada kewangan, kesihatan dan alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya