SEJAK empat tahun lalu, sekeluarga dari Lanchang, Pahang ini tidak pernah terlepas menyertai acara larian malam Cameron (CAMRUN) yang diadakan di Cameron Highlands.
Penyertaan itu bukan semata-mata untuk beriadah, sebaliknya bagi membimbing anak autisme mereka agar lebih berdikari dan yakin dalam kehidupan.
Iskandarshah Jahan Abu Huraira, 46, berkata, platform tersebut turut membuka ruang buat Nur Aryan Asyraf, 12, bergaul dengan masyarakat tanpa rasa terpinggir.
Katanya, CAMRUN merupakan acara larian pertama yang disertai anak istimewanya dan sedikit sebanyak mengubah sikapnya ke arah positif.
“Anak saya mungkin tidak memahami sepenuhnya aktiviti yang dilakukan ini tetapi sekurang-kurangnya dia dapat bergaul dan berinteraksi dengan orang sekeliling.
“Sejak itu, kami sekeluarga aktif memasuki pelbagai acara larian termasuk di negara jiran sebagai salah satu bentuk terapi buatnya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Walaupun acara yang disertai hanya sejauh lima kilometer, ia sudah cukup untuk membuatkan anaknya teruja.

Tambahan pula, kanak-kanak itu berpeluang menggayakan baju bertemakan lampu.
“Setiap tahun, baju berbeza ditampilkan sekali gus membolehkannya mempertahankan kejuaraan bagi kategori kostum terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Iskandarshah Jahan bersyukur dengan sokongan dan keprihatinan para peserta terhadap anak istimewanya.
Malah, mereka tidak keberatan untuk membawa dan menemani anaknya berlari sepanjang acara berlangsung.
“Kelajuan saya terbatas sebab pernah mengalami kecederaan kaki dan bila nampak saya tidak larat, mereka berebut-rebut mahu menemani Nur Aryan Asyraf berlari.
Pasukan perubatan
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Perubatan Megaklinik Dr. Suffian, Dr. Suffian Sani Sayuti berkata, seramai tujuh doktor dan 25 pembantu perubatan bertugas sebagai Medic On The Run, iaitu berlari seiring dengan peserta sepanjang acara berlangsung.
Pasukan itu juga bersedia memberikan rawatan sekiranya terdapat peserta yang sakit atau cedera ketika berlari.
“Malah, terdapat juga doktor yang berlari bersama peralatan peranti defibrilator luaran automatik (AED) sebagai persediaan sekiranya pelari berdepan detik-detik kecemasan.” jelasnya.
Dr. Suffian Sani berkata, penyertaan kakitangan perubatan klinik berkenaan dapat mempromosikan kesejahteraan, menggalakkan gaya hidup aktif, serta membina komuniti larian yang lebih kuat dan sihat.

Seramai 5,000 peserta memeriahkan acara larian membabitkan tiga kategori utama sempena CAMRUN 2026 sekitar Tanah Rata baru-baru ini.
Acara larian yang memasuki tahun keenam itu bukan hanya menawarkan pengalaman larian malam dalam suasana sejuk, bahkan peserta turut diraikan dalam suasana raya.
Menurut Pengarah Pemasaran dan Komunikasi BOLT 360 Management Sdn. Bhd., Azlihana Abdul Rahim, selain menawarkan pengalaman berlari dalam cuaca sejuk, laluan yang mencabar dengan ketinggian terkumpul mencecah 1,600 meter menjadikan acara ini pilihan utama pelari tempatan dan antarabangsa.
Camrun 2026 turut diserikan dengan tema Ketupat & Lemang Raya yang menampilkan elemen budaya tempatan melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti teka lagu raya, teka kuih raya dan pertandingan anyaman ketupat, sejajar dengan penganjurannya pada tahun ini pada bulan Syawal.










