NEW DELHI: Satu kebakaran besar melanda sebuah hotel di New Delhi pada Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang, termasuk ramai warga asing, menurut polis dan media tempatan.
Saluran televisyen India menyiarkan rakaman api marak menjulang dari bangunan tersebut dengan kepulan asap hitam tebal memenuhi ruang udara. Individu yang terperangkap di tingkat atas dilihat terjun ke atas tilam yang dibentangkan di bawah bangunan.
Kebakaran bangunan sering berlaku di India akibat kekurangan peralatan pemadaman kebakaran dan kegagalan mematuhi peraturan keselamatan. Punca kebakaran terbaharu ini masih belum diketahui.
Menurut kenyataan Polis Delhi, kebakaran berlaku pada waktu pagi di Flourish Stay, sebuah penginapan jenis inap dan sarapan yang terletak di kawasan kejiranan padat di selatan bandar raya itu.
“Dengan penuh dukacita, 21 orang telah disahkan meninggal dunia dalam insiden tragis ini,” kata polis.
Beberapa mangsa yang terkorban merupakan warga asing, kebanyakannya dari Asia Tengah dan Afrika, lapor agensi berita Press Trust of India yang memetik pegawai tidak dinamakan.
Menurut laporan media tempatan, ramai daripada mereka berada di bandar itu untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Kementerian Luar India berkata, pihaknya sedang berhubung dengan kedutaan negara yang rakyatnya terjejas dalam kebakaran tersebut.
“Kementerian itu terus berhubung rapat dengan kedutaan yang berkenaan dan sedang memberikan segala bantuan yang diperlukan,” kata Timbalan Menteri Luar India, Kirti Vardhan Singh, menerusi platform X.
Pihak berkuasa memaklumkan lebih 40 orang telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Lapan daripada mereka berada dalam keadaan kritikal, menurut kenyataan sebuah hospital berhampiran.
Ahli politik tempatan, Satish Upadhyay berkata, seramai 47 tetamu berada di hotel itu ketika kebakaran tercetus.
Penduduk setempat bergegas ke lokasi kejadian ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api dan ambulans tiba untuk membawa mangsa yang cedera.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi.
“Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang,” menurut kenyataan pejabat beliau.
Beberapa laporan mencadangkan hotel tersebut hanya mempunyai satu pintu keluar masuk serta tidak mempunyai sistem pengudaraan yang mencukupi.
“Siasatan akan dijalankan dan sesiapa yang melanggar peraturan dan bertanggungjawab akan ditangkap segera,” kata Upadhyay.
Menurut saksi, beberapa individu yang terperangkap di tingkat atas bangunan terjun ke atas tilam yang dibentangkan di jalan di luar bangunan.
“Kami mendapatkan tilam dari sebuah kedai peralatan tempat tidur berhampiran kerana orang ramai perlu diselamatkan,” kata seorang penduduk tempatan, Mohammad Anees, kepada AFP.
“Selepas tilam dibentangkan, lima wanita terjun dari bangunan itu dan mendarat dengan selamat di atasnya,” tambahnya
Kebakaran akhirnya berjaya dikawal dengan bantuan lapan jentera bomba, menurut polis. – AFP










