Dewan Perwakilan AS lulus usul halang Trump teruskan perang Iran - Utusan Malaysia

Dewan Perwakilan AS lulus usul halang Trump teruskan perang Iran

SERAMAI 215 wakil rakyat Dewan Perwakilan mengundi menyokong usul perang Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan usul  untuk menghalang Presiden Donald Trump daripada meneruskan sebarang tindakan ketenteraan lanjut di Iran.

Undian yang mencatatkan keputusan 215-208 itu berjaya dicapai selepas empat ahli parlimen daripada parti Republikan bertindak menyertai kumpulan majoriti Demokrat. 

Langkah tersebut  mendedahkan penentangan terbuka yang jarang-jarang berlaku terhadap krisis peperangan yang telah pun meletus sejak Februari lalu. 

Ini merupakan percubaan kali keempat oleh Dewan Perwakilan bagi menyekat kuasa peperangan Trump yang mana sebelum ini sering dikritik oleh pelbagai pihak kerana tidak mendapat kelulusan rasmi daripada Kongres AS.

Bagaimanapun, ketetapan yang diluluskan oleh Dewan Perwakilan ini masih memerlukan kelulusan daripada Dewan Senat AS yang kini dikuasai oleh parti Republikan. 

Malah, sekiranya ia berjaya melepasi undian di peringkat Senat sekalipun, langkah terbabit dilihat masih belum cukup kuat untuk menyekat sepenuhnya tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Ini kerana Trump mempunyai kuasa veto untuk membatalkan ketetapan itu. Bagi membolehkan kuasa veto tersebut terbatal, ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada kedua-dua dewan di dalam Kongres AS.

Sebelum ini, pihak Senat pernah mengemukakan usul yang hampir serupa pada Mei lalu selepas tujuh percubaan awal menemui kegagalan, namun ia masih belum dibawa untuk undian penuh.

Empat ahli Republikan iaitu Thomas Massie, Brian Fitzpatrick, Tom Barrett dan Warren Davidson telah mengambil keputusan untuk menyertai barisan wakil rakyat Demokrat bagi meluluskan usul pada Rabu lepas. 

Sementara itu, wakil Demokrat dari Maine, Jared Golden yang sebelum ini sering mengundi untuk menentang langkah seumpama itu, kali ini memilih untuk memberikan sokongan beliau.

“Hanya Kongres sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk mengisytiharkan peperangan dan itu adalah sesuatu yang semestinya perlu kita pertahankan,” tegas Barrett, yang merupakan anggota Republikan dari Michigan. 

“Saya mengundi mengikut suara hati demi apa yang saya fikirkan betul dan saya sedia menerima apa jua kesannya,” katanya apabila ditanya sama ada beliau bimbang akan tindakan balas daripada Trump ekoran keputusan undiannya itu.

Perkembangan terbaharu ini menandakan satu lagi siri perpecahan yang berlaku dalam parti Republikan pimpinan Trump. 

Ia berlaku selang beberapa hari selepas tindakan penentangan oleh kumpulan konservatif di Kongres yang akhirnya memaksa pentadbiran Trump menarik balik pelan peruntukan dana anti-pempersenjataan bernilai AS$1.8 bilion (RM7.2 bilion) untuk sekutu politik mereka.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN