Dunia perlu bersedia hadapi cuaca ekstrem El Nino - PBB

Dunia perlu bersedia hadapi cuaca ekstrem El Nino – PBB

KETUA Perkhidmatan Ramalan Iklim WMO, Wilfran Moufouma-Okia menunjukkan graf fenomena El Nino yang dipaparkan pada skrin komputer di ibu pejabat WMO di Geneva-AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mengeluarkan amaran terdapat kebarangkalian sehingga 80 peratus fenomena pemanasan El Nino akan terbentuk antara Jun hingga Ogos ini, sekali gus meningkatkan risiko cuaca ekstrem di peringkat global.

Menurut agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, keadaan El Nino kini sedang berkembang hasil dorongan suhu air lautan yang luar biasa panas di kawasan tropika Pasifik dan ia dijangka bakal memberikan impak besar terhadap corak suhu serta taburan hujan di seluruh dunia. 

Menerusi laporan kemas kini suku tahunan El Nino/La Nina yang dikeluarkan WMO, kebarangkalian untuk fenomena El Nino ini berkembang menjelang bulan November depan adalah sangat tinggi iaitu mencecah atau melebihi 90 peratus. 

WMO berkata, ramalan bagi Jun hingga Ogos menunjukkan penguasaan hampir menyeluruh suhu melebihi normal di hampir semua bahagian dunia dan keadaan itu meningkatkan risiko bencana berganda di sesetengah wilayah serta mempercepatkan permulaan kemarau di kawasan yang menerima kurang hujan.

Ketua WMO, Celeste Saulo menegaskan seluruh penduduk dunia perlu bersiap sedia menghadapi kedatangan El Nino kali ini kerana ia berupaya memburukkan lagi keadaan kemarau, membawa taburan hujan yang terlalu lebat serta meningkatkan risiko gelombang haba melampau sama ada di kawasan daratan mahupun di dalam lautan. 

Beliau turut memberi amaran El Nino akan membawa ‘kesan berantai’, dengan pemanasan lautan tropika memberi impak kepada perdagangan global.

“Kesannya merangkumi perubahan iklim, ekonomi dan keselamatan manusia. Sebab itu maklumat ini sangat relevan dan penting. 

“WMO berharap amaran awal dapat membantu persediaan terutama dalam sektor sensitif terhadap iklim seperti pertanian, pengurusan air, tenaga dan kesihatan,” katanya kepada pemberita.

Saulo berkata, sebanyak 128 negara kini mempunyai sistem amaran awal pelbagai bencana, dengan sasaran PBB untuk mencapai liputan sejagat menjelang akhir 2027.

Pusat iklim serantau meramalkan hujan di bawah paras normal semasa musim kritikal Jun hingga September di bahagian utara Tanduk Besar Afrika, hujan monsun lebih rendah di Asia Selatan serta keadaan musim panas yang lebih kering dan panas di Amerika Tengah.

Semasa musim panas hemisfera utara pula, suhu laut panas berkaitan El Nino boleh meningkatkan pembentukan taufan di bahagian tengah dan timur Pasifik, tetapi menghalang pembentukannya di Lautan Atlantik.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN