JPJ kutip RM204 juta hasil jualan nombor siri pendaftaran kenderaan - Utusan Malaysia

JPJ kutip RM204 juta hasil jualan nombor siri pendaftaran kenderaan

ZAILANI Hashim menerima Anugerah Setia Bakti Warga JPJ yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPJ, Mohd Tarmizi Abd Talib (kiri) pada Majlis Amanat Tahun Baharu Ketua Pengarah dan Perhimpunan Setia JPJ Tahun 2022 di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hasil RM204 juta menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, kutipan hasil itu membabitkan 117 siri nombor pendaftaran negeri di 15 buah stesen JPJ di seluruh negara.

Beliau berkata, kutipan itu juga meningkat 15.3 peratus atau RM27 juta berbanding RM177 juta direkodkan pada 2020.

“Bagi setiap siri nombor pendaftaran itu, kami berjaya mengutip hasil sebanyak RM1.7 juta.

“Tahun 2020, kami berjaya kutip RM177 juta dengan 13 siri nombor pendaftaran dilancarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Setia JPJ 2022 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zailani berkata, pihaknya mengeluarkan 1,039,612 notis saman sepanjang tahun lalu berbanding 980,839 notis saman tahun sebelumnya.

“Daripada pengeluaran notis saman itu, 507,956 selesai dibayar dengan jumlah kutipan hasil sebanyak RM71.2 juta,” katanya.

Selain itu katanya, JPJ juga berjaya memperoleh kutipan kira-kira RM7.14 juta bayaran saman menerusi program pengurangan saman 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia berakhir 31 Disember tahun lalu.

Sementara itu, Zailani berkata, pihaknya turut mengeluarkan 3,215 notis saman kepada penunggang motosikal khidmat penghantaran (p-hailing) sepanjang Op Merah tahun lalu.

Katanya, notis saman itu dikeluarkan kepada 2,424 pemilik motosikal membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk melanggar lampu isyarat, tiada perlindungan insurans dan nombor pendaftaran ‘fancy’.

“Op Merah yang dilaksanakan bermula 8 Oktober hingga 7 November tahun lalu bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dan pemanduan berhemah dalam kalangan penunggang p-hailing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN