Kalau pun hidup penuh glamor, janganlah sampai bab hutang pun buat-buat lupa. Cik Bunga dengar satu cerita panas tentang seorang selebriti terkenal yang dikatakan masih belum melangsaikan bayaran hampir RM300,000 kepada individu yang pernah banyak membantu bisnesnya satu ketika dahulu.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, individu tersebut seorang programmer yang bertanggungjawab membangunkan satu sistem khas untuk operasi perniagaan selebriti berkenaan.
Bukan kerja sehari dua, kata sumber itu, malah projek tersebut memakan masa panjang dan melibatkan pelbagai proses teknikal yang rumit.
Difahamkan, pada awalnya semuanya berjalan lancar. Selebriti itu dikatakan berjanji akan membuat pembayaran secara berperingkat selepas sistem siap digunakan. Namun selepas sistem itu beroperasi sepenuhnya, bayaran yang dijanjikan mula ‘senyap’.
Bila ditanya, jawapan yang diterima hanyalah ‘Nanti saya bayar’, ‘Nanti saya uruskan’. Masalahnya, kata ‘nanti’ ” itu dikatakan sudah berlarutan bertahun-tahun.
Lebih mengejutkan, programmer terbabit difahamkan sudah lama meninggalkan projek dan tidak lagi bekerja dengan pihak selebriti tersebut.
Namun sehingga hari ini, baki hutang yang didakwa mencecah hampir RM300,000 masih belum dijelaskan walaupun sistem yang dibangunkan itu terus digunakan setiap hari untuk menggerakkan perniagaan selebriti berkenaan.
Itulah yang membuatkan ramai menggeleng kepala.
Kalau sistem masih dipakai, maknanya sistem itu masih memberi manfaat dan menjana keuntungan, bukan? Jadi, kenapa begitu sukar untuk melunaskan hak orang lain?
Cik Bunga juga dimaklumkan bahawa individu terbabit sebelum ini sudah cuba berbincang secara baik dan profesional. Tiada drama, tiada ugutan, jauh sekali mahu membuka aib sesiapa.
Tetapi apabila terlalu lama dipermainkan dengan janji kosong, sabar manusia pun ada hadnya.
Apa yang menyedihkan, di luar sana selebriti ini dilihat hidup mewah, aktif berniaga dan sering berkongsi kejayaan di media sosial. Namun di belakang tabir, masih ada individu yang menunggu hak sendiri yang belum diselesaikan.
Cik Bunga harap perkara ini dapat diselesaikan secara baik sebelum cerita yang asalnya berbisik akhirnya bertukar menjadi lebih besar. Dunia sekarang kecil sahaja, dan netizen pula cukup pantas menghidu cerita.









