BAGAN SERAI: Dua maut apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Taiping-Bagan Serai di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 4.56 petang.
Menurutnya, kemalangan melibatkan kereta Perodua MyVi yang dinaiki mangsa yang maut dengan sebuah kereta jenis Toyota Innova.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, terdapat seorang mangsa lelaki berumur 66 tahun di dalam kereta Perodua MyVi terperangkap dibahagian pemandu dan tidak sedarkan diri.
“Seorang mangsa lagi wanita berumur 51 tahun yang merupakan penumpang kereta Perodua Myvi telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Kedua-dua mangsa yang menaiki Perodua Myvi disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seterusnya mangsa diserahkan ke pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, pemandu Toyota Innova lelaki berusia 46 tahun mengalami kecederaan ringan dan keluar sendiri dari kenderaan sebelum pihak bomba tiba dilokasi.
Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan menggunakan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS). – UTUSAN










