PKR Maran siap siaga rampas kerusi DUN Luit, Kuala Sentul pada PRU16 - Utusan Malaysia

PKR Maran siap siaga rampas kerusi DUN Luit, Kuala Sentul pada PRU16

PKR Cabang Maran kini bersiap siaga bagi merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit dan Kuala Sentul pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: PKR Cabang Maran kini bersiap siaga bagi merampas dan mempertahankan sokongan rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit dan Kuala Sentul yang ketika ini disandang Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Cabang PKR Maran, Michael Sia Wei Lung berkata, kedua-dua kerusi itu penting kerana ia bukan sekadar soal politik, tetapi melibatkan masa depan rakyat, pembangunan kawasan dan hala tuju generasi akan datang di Maran.

Beliau menegaskan bahawa pimpinan dan anggota cabang itu sudah turun padang secara konsisten ke kampung, taman perumahan, kawasan Felda dan penempatan masyarakat untuk mendengar suara rakyat serta meneliti isu-isu setempat termasuk masalah infrastruktur, kos sara hidup, peluang pekerjaan anak muda, bekalan air dan pendidikan.

“Rakyat hari ini bukan lagi mahu mendengar slogan politik semata-mata. Mereka mahukan wakil rakyat yang benar-benar bekerja, turun padang dan membawa penyelesaian kepada masalah rakyat,” katanya di sini hari ini.

Michael Sia turut menekankan bahawa PKR Maran akan terus membawa pendekatan politik sederhana, inklusif dan mengutamakan perpaduan rakyat, selaras dengan amanat Presiden parti itu merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Menurutnya, PKR Cabang Maran yakin PRU16 bakal menjadi medan penting untuk rakyat menentukan masa depan mereka dan menegaskan kesediaan untuk berdepan pertandingan tiga penjuru atau lebih.

Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa cabang itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pimpinan yang gagal menunjukkan kesetiaan dan disiplin kepada perjuangan parti tersebut.

“Tindakan seorang pimpinan kanan PKR Cabang Maran menghadiri program Parti Bersama Malaysia (Bersama) baru-baru ini disifatkan mencalar keyakinan anggota akar umbi.

“Kedudukan yang dipegang bukan datang secara individu, tetapi hasil amanah dan sokongan anggota PKR Maran. Jika tidak lagi bersama perjuangan, lebih baik lepaskan jawatan secara terhormat,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN