Jika mahu pinda Akta 672, mereka kena ‘pinang’ - Reezal Merican

Jika mahu pinda Akta 672, mereka kena ‘pinang’ 

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tujuh negeri yang enggan meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 perlu memohon jika mereka mahu ada pindaan bagi klausa tertentu.

Negeri-negeri berkenaan bagaimanapun dialu-alukan memperakui Akta 672 itu sekiranya berasa obligasi tugas tersebut diserahkan secara mutlak kepada pihak Kerajaan Persekutuan.

Demikian jaminan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai merujuk isu tapak sampah haram di negeri yang tiada akta berkenaan.

“Kalau hendak pinda (klausa) tertentu, perlulah mohon sebab mereka kena ‘pinang’ kita tetapi saya tidak boleh bagi jawapan terus, kerana ini harus dibawa kepada Kabinet pula,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan watikah pelantikan 25 ahli Panel Berkepakaran buat julung kali bagi isu perumahan negara di Hotel Le Meridien, di sini hari ini.

Isu lambakan tapak sampah haram berleluasa di negeri yang belum lagi meratifikasi Akta 672 pernah disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zain Hassan menyebabkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp.) tidak boleh bertindak tegas mendakwa pelaku di mahkamah kerana tiada kuasa di negeri itu.

Lebih buruk, apabila ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka di tapak itu yang mengakibatkan Indeks Pencemaran Udara melonjak teruk ketika cuaca panas.

Situasi jelas berbeza di Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Wilayah Persekutuan yang kurang masalah tersebut kerana dipantau ketat penguat kuasa SWCorp. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN