JAKARTA: Menteri Koordinator Bidang Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, Agus Harimurti Yudhoyono mengumumkan pembinaan tembok laut raksasa di pesisir utara Pulau Jawa bertujuan untuk melindungi ekonomi rakyat.
Kerajaan Indonesia kini mempercepat pembangunan infrastruktur adaptif, termasuk projek berkenaan yang menjadi antara keutamaan strategik nasional di bawah pentadbiran Presiden, Prabowo Subianto.
“Ini bukan sekadar sebuah tembok laut. Ia berkaitan dengan usaha melindungi masa depan ekonomi negara dan rakyat kita,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tembok laut sepanjang 575 kilometer itu direka bukan sahaja untuk melindungi kawasan pesisir, tetapi juga untuk memastikan keselamatan makanan, kawasan perindustrian serta keselamatan jutaan penduduk di pesisir Jawa.
Agus Harimurti menegaskan infrastruktur tersebut merupakan langkah paling konkrit dalam merealisasikan agenda kelestarian dan ketahanan terhadap perubahan iklim.
Beliau berkata, perubahan iklim tidak lagi boleh dianggap sebagai ancaman masa depan, sebaliknya merupakan cabaran sebenar yang sedang dihadapi masyarakat ketika ini.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada bencana besar akibat Siklon Senyar di Sumatera yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa dan menjejaskan jutaan penduduk.
“Adaptasi bukan lagi senario masa depan. Adaptasi adalah kos yang perlu kita bayar hari ini,” katanya.
Kerajaan merancang membahagikan pesisir utara Pulau Jawa sepanjang 575 kilometer itu kepada 15 segmen, dengan pecahan lebih kecil bagi pelaksanaan pembinaan secara berperingkat untuk mengurangkan risiko pesisir dan penurunan tanah.
Ketika ini, garis masa pelaksanaan masih dimuktamadkan kerana projek itu perlu mengambil kira aspek teknikal, alam sekitar dan sosial.
Agensi Pengurusan Pesisir Utara Jawa (BOPPJ) akan melaksanakan pembinaan secara bertema dengan mengambil kira aktiviti ekonomi sedia ada di kawasan pesisir supaya pembangunan selari dengan kehidupan penduduk setempat serta keperluan mitigasi. – AGENSI










