Selayang perlu pelan besar capai status bandar raya

Selayang perlu pelan besar capai status bandar raya

AMIRUDIN Shari ketika berucap pada Majlis Peluncuran Coffee Table Book Selayangku Sayang: Bandaraya Pintar 2030 di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) perlu merangka pelan pembangunan yang lebih besar dan bersepadu bagi memastikan Selayang dapat mencapai status bandar raya menjelang 2030.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan bagi memajukan Selayang tidak boleh lagi dilakukan secara kecil-kecilan, sebaliknya perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem kawasan tersebut.

“Ini adalah masanya untuk kita duduk dan lihat kembali keseluruhan pelan pembangunan supaya kita tidak merancang secara runcit atau kecil-kecilan.

“Kita ada master plan kerana impian kita besar. Impiannya adalah untuk menjadikan Selayang sebuah bandar raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Coffee Table Book Selayangku Sayang: Bandaraya Pintar 2030 di sini, semalam.

Amirudin berkata, perancangan juga perlu dilakukan dengan teliti agar pembangunan tersebut tidak mencetuskan masalah baharu dari segi kemudahan asas dan infrastruktur sokongan.

Amirudin berkata, MPS perlu mengenal pasti kluster pembangunan tertentu bagi memastikan setiap kawasan mempunyai hala tuju yang jelas dan tidak berkembang secara berselerak.

“Kita kena buat kluster dan daripada kluster itu, barulah fokus pembangunan dapat dibentuk. Di kawasan fokus inilah nanti kita boleh bangunkan bersama pemain-pemain industri sedia ada atau pemegang taruh lain.

“Kita tidak boleh membiarkan rancangan berjalan begitu sahaja. Kita kena ada rencana,” katanya.

Menurut Amirudin, Selayang sudah menunjukkan perkembangan ketara sejak beliau mula mengikuti pentadbiran kawasan itu pada 2008, terutamanya dari segi peningkatan hasil dan pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata, hasil MPS yang sebelum ini berada sekitar RM90 juta hingga RM99 juta kini meningkat kepada kira-kira RM300 juta dan memberi asas lebih kukuh kepada kawasan itu untuk berkembang pada masa depan.

Katanya, Selayang juga mempunyai kedudukan strategik kerana dihubungkan dengan kawasan sekitar seperti Rawang, Gombak dan berpotensi menjadi sebahagian daripada ekosistem metropolitan Selangor.

Dalam masa sama, Amirudin berkata, pembangunan baharu di Selayang dan Rawang perlu mengambil kira potensi industri masa depan termasuk sektor automotif dan kenderaan elektrik.

“Sekarang saya lihat di kawasan Rawang dan di kawasan Selayang ini sudah banyak industri automobil yang berkembang.

“Kita sudah ada kawasan yang sesuai, cuma ia bergantung kepada bagaimana kita menyusunnya berdasarkan kesesuaian dan kekuatan sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN