Eizie seronok jahit ‘baju’ untuk buku kehamilan

Eizie seronok jahit ‘baju’ untuk buku kehamilan

ANTARA koleksi pelindung buku kehamilan yang dihait Eizie.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula sekadar melihat ibunya menjahit sejak kecil, minat terhadap dunia jahitan akhirnya berkembang menjadi satu hobi yang bukan sahaja memberi kepuasan diri, malah menjadi sumber pendapatan sampingan buat seorang suri rumah dari Selangor, Noor Eizie Eizyanie Mohamad Safuan, 38.

Menurut Noor Eizie Eizyanie, minat terhadap jahitan mula bertambah sejak zaman kanak-kanak apabila dia sering melihat ibunya menggunakan mesin jahit di rumah.

“Dulu masa kecil saya selalu tengok ibu saya menjahit. Lama-lama minat itu mula timbul dan saya sendiri ingin mencuba,” katanya kepada Seri.

Dia mula aktif menjahit sejak tahun kedua pengajian universiti sekitar tahun 2008, sebagai usaha mencari pendapatan tambahan.

“Ketika itu saya mula berniaga secara kecil-kecilan untuk mendapatkan duit tambahan. Saya mulakan dengan menjahit gantungan kunci daripada kain felt sebelum beralih kepada penghasilan bantal bercorak,” katanya.

EIZIE bersama sebahagian daripada koleksi produk jahitannya.

Bermula dari keperluan sendiri

Minat Noor Eizie Eizyanie terhadap jahitan terus berkembang seiring dengan fasa kehidupannya.

Ketika mengandungkan anak kedua, dia mendapat idea untuk menghasilkan pelindung buku rekod kesihatan ibu mengandung atau lebih dikenali sebagai ‘buku pink’.

Menurutnya, pengalaman melahirkan anak pertama menyedarkannya tentang kepentingan menjaga buku tersebut dengan baik kerana ia perlu disimpan sehingga kehamilan seterusnya.

“Pengalaman melahirkan anak pertama menjadikan saya faham buku pink itu perlu disimpan sampai kita mengandung anak seterusnya. Buku pink saya dulu rosak sebab tak guna pelindung buku,” katanya.

Disebabkan itu, dia mengambil keputusan untuk menjahit pelindung buku tersebut bagi kegunaan sendiri.

Hasil jahitan itu kemudian dikongsikan di media sosial sebelum mula mendapat perhatian ramai.

“Bila saya kongsi dekat media sosial, ramai pula yang berminat sebab mereka pun hadapi masalah yang sama,” katanya.

Sambutan positif yang diterima mendorongnya untuk terus mengembangkan hasil jahitannya dengan menghasilkan pelbagai produk lain seperti pemegang kad dan pemegang kad pengenalan.

Produk-produk tersebut kini mendapat permintaan daripada pelbagai golongan pelanggan.

Belajar menjahit sendiri

Walaupun aktif dalam dunia jahitan, dia tidak berminat menghasilkan pakaian.

Sebaliknya, dia lebih gemar menjahit produk aksesori seperti pelindung buku, pemegang kad dan pemegang kad pengenalan yang lebih dekat dengan minat serta kreativiti dirinya.

Menurutnya, minat dan semangat memainkan peranan penting dalam menghasilkan sesuatu produk yang berkualiti dan kemas.

“Saya tak minat menjahit baju. Bagi saya, kalau kita berkarya atau menjahit, pastikan benda yang kita buat itu kita suka dan berminat. Bila ada rasa minat, kita akan lebih bersungguh-sungguh untuk menghasilkan produk yang kemas,” katanya.

Dia mempelajari kemahiran menjahit secara sendiri dengan menggunakan mesin jahit milik ibunya ketika mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut.

Katanya, sebahagian besar ilmu jahitan diperoleh melalui internet selain pengalaman mencuba pelbagai projek jahitan.

“Selebihnya saya banyak belajar melalui internet. Bagi saya, kesalahan ketika mencuba sesuatu projek itu juga satu bentuk pembelajaran. Semua melalui proses cuba dan terus mencuba,” katanya.

Dalam menghasilkan setiap produk, dia kebanyakannya menggunakan kain kapas yang dilapik dengan span bagi meningkatkan kualiti serta ketahanan hasil jahitan.

Inspirasi reka bentuk pula banyak diperoleh daripada kehidupan seharian.

PRODUK jahitan Eizie semakin mendapat sambutan ramai.

Selain itu, dia turut menitikberatkan cadangan dan maklum balas pelanggan bagi menambah baik produk yang dihasilkan dari semasa ke semasa.

Cabaran masa dan kesabaran

Bagi Noor Eizie Eizyanie, cabaran utama dalam dunia jahitan ialah pengurusan masa. Ini kerana dia perlu membahagikan masa antara keluarga, anak-anak dan tempahan pelanggan.

“Waktu siang saya selalunya menjahit lepas hantar anak sekolah pagi. Selepas itu berhenti sekejap untuk jemput anak balik sekolah dan hantar pula anak ke sekolah petang. Lepas itu sambung menjahit semula,” katanya.

Menurutnya, waktu malam sering menjadi waktu kegemaran untuk menjahit kerana suasananya lebih tenang dan lebih banyak idea dapat diperoleh.

Pada musim cuti sekolah, dia mempunyai lebih banyak masa untuk berada di dalam bilik jahit kerana tidak perlu menguruskan jadual persekolahan anak-anak.

Dari segi masa untuk menyiapkan, Noor Eizie Eizyanie mengambil masa sekitar satu hingga dua jam untuk menyiapkan, bergantung kepada jenis produk.

Proses tersebut bermula daripada melakar pola, memotong kain, menggosok interfacing sehinggalah ke proses jahitan akhir.

Namun, dia tidak menafikan bahawa kesilapan ketika menjahit adalah perkara biasa dalam bidang ini.

SETIAP produk dihasilkan dengan penuh ketelitian.

“Kalau jahitan tak kemas, saya akan tetas semula kalau masih boleh diselamatkan. Kalau tidak, saya akan menjahit yang baru,” katanya.

Walaupun begitu, dia tidak mudah berputus asa apabila berdepan kesilapan. Baginya, setiap kesalahan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran untuk menjadi lebih mahir.

“Selalunya saya akan berehat sekejap dan buat projek yang lebih ringan dan menyeronokkan dulu sebelum sambung semula menyiapkan produk,” katanya.

Tambahnya, sesiapa sahaja berisiko mengalami keletihan melampau, namun minat yang mendalam terhadap jahitan membuatkannya terus bertahan.

“Saya tak rasa kesilapan itu beban, tapi lebih kepada proses belajar,” katanya.

Jahitan bukan sekadar kain dan benang

Menyentuh soal kos, Noor Eizie Eizyanie menjelaskan bahawa harga setiap produk bergantung kepada pilihan pelanggan.

Ini kerana dia menyediakan beberapa pilihan material seperti kain kapas biasa dan kain kapas premium, selain nilai tambah lain mengikut bajet masing-masing.

Katanya, pelanggan hari ini lebih bijak menilai kualiti sesuatu produk yang dibeli.

Kos jahitan bukan hanya melibatkan kain dan benang semata-mata, sebaliknya merangkumi kemahiran, ketelitian serta masa yang diperlukan untuk menghasilkan setiap produk.

“Menjahit ini mahal pada kemahiran, ketelitian dan masa yang diberikan untuk menghasilkan sesuatu produk. Kita bukan hasilkan jahitan pukal, tapi item yang dijahit satu-satu dengan kasih sayang,” katanya.

Sumber ekonomi keluarga

Walaupun sibuk menguruskan keluarga, dia tetap menjadikan jahitan sebagai sumber pendapatan sampingan yang fleksibel bagi membantu ekonomi keluarga.

“Sebagai suri rumah, keutamaan saya tetap keluarga dan anak-anak. Jadi hobi ini adalah sumber pendapatan sampingan yang fleksibel,” katanya.

Menurutnya, hasil jahitan dipasarkan melalui platform media sosial seperti Instagram dan TikTok dengan memuat naik kandungan serta gambar produk yang lebih menarik untuk menarik perhatian pelanggan.

Harga produk ditetapkan sekitar RM8 hingga RM59, bergantung kepada jenis produk dan material yang digunakan.

Puas melihat pelanggan gembira

Noor Eizie Eizyanie berkata, detik paling bermakna ialah apabila pelanggan berpuas hati dengan hasil tangan yang diterima.

“Paling seronok bila pelanggan datang semula untuk tempahan lain dan memberitahu produk yang mereka beli dulu masih digunakan sampai sekarang,” katanya.

Menurutnya, setiap produk yang dihasilkan akan melalui proses semakan teliti bagi memastikan ia menepati tahap kualiti yang diinginkan sebelum dipasarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN