KUALA LUMPUR: Kuching City FC sedia mempamerkan aksi maksimum bagi mencabar juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia 2025/2026, malam ini.
Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, semangat juang dan kerja keras berpasukan merupakan senjata utama anak buahnya untuk cuba melakar kejutan ke atas Harimau Selatan.
Menurutnya, kejayaan membawa The Cats ke pentas final merupakan satu pencapaian luar biasa, termasuk melonjakkan prestasi pasukan dalam tempoh dua musim sahaja.
“Keputusan perlawanan adalah sesuatu yang tidak boleh kita kawal. Namun dari segi persembahan, saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada para pemain.
“Apabila anda bermain menentang pasukan terbaik, ia dengan sendirinya menjadi motivasi yang besar. Jadi segala kemungkinan boleh berlaku esok (malam ini).
“Kami mahu membuktikan mengapa kami layak berada di perlawanan akhir dan tidak mahu mengecewakan penyokong yang terbang jauh untuk menyokong kami,” katanya.
Dalam pada itu, Kapten Kuching City, James Okwuosa berkata, pasukannya tidak akan meletakkan fokus kepada ketajaman jentera serangan JDT yang diketuai, Bergson Da Silva.
“Kami perlu mengekalkan disiplin bertahan pada tahap tertinggi dan bekerjasama sebagai satu unit yang kuat bagi mematahkan setiap asakan lawan.
“Bola itu bulat. Selagi perlawanan berlangsung selama 90 minit, sesiapa sahaja boleh ditewaskan.
“Jika kita menang, kita mencipta sejarah. Kami mahu membuktikan sesiapa sahaja boleh mencapai apa sahaja dan ini adalah motivasi terbesar buat setiap pemain,” ujar Okwuosa.
Dalam masa yang sama, Kuching City juga menghormati keputusan pelantikan pengadil dari Qatar oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
habis//










