Harga murah punca kedai emas Kelantan diserbu

Harga murah, corak eksklusif punca kedai emas Kelantan diserbu sempena Aidiladha

KEDAI emas di Kelantan dijangka sibuk bermula hari ini selepas perantau pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidiladha mengambil peluang membeli perhiasan itu. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Harga lebih murah dan reka bentuk lebih eksklusif serta mutu yang tinggi menjadikan barangan kemas Kelantan terus menjadi pilihan utama perantau yang pulang ke kampung sempena Aidiladha.

Situasi itu mencetuskan ‘demam emas’ apabila kebanyakan premis barang kemas itu di­jangka dipenuhi pelanggan dari luar Kelantan yang mengambil peluang membeli emas ketika pulang bercuti.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar ini mendapati, setakat ini suasana jualan masih sederhana biarpun harga emas berada pada kadar RM553 satu gram, namun peniaga menjangkakan lonjakan pembeli bermula hujung minggu ini.

Peniaga, Wan Shahira Wan Azmi, 27, berkata, trend membeli barang kemas ketika musim perayaan dan cuti sekolah sudah menjadi kebiasaan ter­utama dalam kalangan perantau yang pulang ke Kelantan.

Katanya, kebanyakan pelanggan mencari barang kemas baharu untuk dipakai ketika Aidil­adha selain dijadikan aset.

“Bermula Sabtu ini, mungkin ramai yang datang membeli barang kemas untuk dipakai pada hari raya nanti. Untuk itu, saya sudah menambah stok beberapa reka bentuk baharu seperti cincin dan rantai tangan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Wan Shahira berkata, penurunan harga emas ketika ini turut menarik minat pelanggan membeli ‘jongkong emas’ sebagai pelaburan dan simpanan jangka panjang.

Seorang lagi peniaga, Wan Nurul Iman Wan Abdul Kadir, 27, berkata, minat masyarakat Kelantan terhadap barang kemas tetap tinggi walaupun harga emas turun naik.

Katanya, pelanggan terutama perantau gemar membeli barang kemas di negeri ini kerana reka bentuknya menarik selain harga yang lebih berpatutan.

“Kebanyakan pelanggan me­milih rantai tangan bernilai RM2,000 ke atas dengan reka bentuk baharu.

“Selain itu, ada pelanggan memilih kaedah tukar beli de­ngan menukar barang kemas lama dan menambah sejumlah wang mengikut berat kandu­ngan emas tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN