SETIU: Inisiatif membenarkan bayaran secara ansuran bagi ibadah korban tahun ini yang diperkenalkan di Kampung Seri Kenangan, di sini membantu orang ramai terutama golongan berpendapatan sederhana merealisasikan hasrat melaksanakan ibadah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Seri Kenangan, Mohamad Saad berkata, kaedah bayaran fleksibel itu diperkenal bagi memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam terutama penduduk kampung itu menyertai ibadah korban tanpa terbeban dengan pembayaran sekali gus.
Katanya, peserta boleh membuat bayaran secara ansuran beberapa bulan lebih awal sebelum Hari Raya Aidiladha bagi memudahkan mereka membayarnya sedikit demi sedikit.
“Ramai penduduk yang mahu melakukan ibadah korban tetapi kekangan kewangan menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan niat setiap tahun. Apabila ada kemudahan bayaran ansuran, ia sedikit sebanyak membantu mereka membuat persediaan lebih awal.
“Tambahan pada tahun ini harga lembu sedikit tinggi berbanding tahun sebelumnya ekoran peningkatan kos semasa, disebabkan itu masih ramai yang belum mampu untuk menjalankan ibadah korban,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Seri Kenangan.
Mohamad berkata, tawaran ansuran lembu korban itu dilaksanakan melalui projek Sejati Madani ternakan lembu fidlot buat pertama kalinya dan mendapat sambutan memberangsangkan.
Katanya, bagi projek permulaan itu, mereka membuka penyertaan kepada 28 bahagian melibatkan empat ekor lembu baka Brahman.
Sementara itu, seorang penduduk, Che Wan Mazuan Che Wan Mohamad, 38 berkata, selain memudahkan urusan peserta, kaedah berkenaan membantu pihak penganjur membuat persediaan awal termasuk tempahan lembu dan urusan agihan daging korban.
“Harga bagi satu bahagian sangat berpatutan berjumlah RM600 yang jauh lebih murah berbanding di kawasan bandar mencecah RM700 hingga RM800 bagi bahagian sama.
“Lembu baka tersebut untuk ibadah korban memberi jumlah daging lebih banyak kepada peserta untuk diagihkan sendiri kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan,” katanya.- UTUSAN










