Cuaca panas dorong West Nile merebak di Itali

Cuaca panas dorong West Nile merebak di Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Peningkatan suhu dan tempoh cuaca panas yang lebih panjang dipercayai membantu nyamuk menyebarkan virus West Nile ke kebanyakan di Itali, selain memanjangkan tempoh penularannya.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Itali, lebih 650 kes jangkitan virus West Nile dilaporkan di negara itu setakat tahun ini, merangkumi kira-kira separuh daripada keseluruhan kes yang direkodkan di Eropah.

Penyelidik Institut Kesihatan Kebangsaan Itali (ISS), Antonino Bella, berkata peningkatan suhu akibat perubahan iklim membantu nyamuk membiak dengan lebih cepat dan memanjangkan musim penularan virus berkenaan.

“Keadaan itu meningkatkan kemungkinan nyamuk yang dijangkiti menyebarkan virus kepada manusia,” katanya.

Virus West Nile dianggap endemik di Itali sejak 2020 selepas jumlah kes mula meningkat dan kini dilaporkan setiap musim panas hingga awal musim luruh.

Kira-kira 80 peratus individu yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala, manakala kebanyakan pesakit lain mengalami gejala ringan seperti selesema.

Namun, sebilangan kecil pesakit boleh mengalami komplikasi neurologi serius, terutama warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

Pakar berkata, jumlah kes yang direkodkan tahun ini secara keseluruhannya masih seiring dengan trend dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Bella berkata suhu yang lebih panas menggalakkan pembiakan nyamuk dan menyebabkan musim penularan virus itu kadangkala berlanjutan sehingga November.

Kawasan yang sebelum ini sebahagian besarnya tidak terjejas juga melaporkan jangkitan, menunjukkan penyebaran virus itu semakin merebak ke seluruh Itali.- AP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×