ROMPIN: Mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke Bandar Melati atau lebih dikenali sebagai Bandar 13, di sini pasti tertanya-tanya tentang status sebenar kawasan itu apabila tidak kelihatan ciri sebuah bandar seperti deretan premis perniagaan, bangunan pentadbiran atau pusat komersial yang lazimnya melambangkan pembangunan sesebuah bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bandar Melati, Worrzari Murad, 67, berkata, status bandar yang hanya wujud pada nama semata-mata sering mengundang persoalan pengunjung ke situ.
Katanya, ramai yang datang mencari Bandar Melati dengan gambaran sebuah bandar lengkap dengan bangunan kedai, pejabat kerajaan dan pusat perniagaan, namun hakikatnya mereka hanya menemukan sebuah penempatan desa.
“Orang luar selalu tertanya-tanya, mana bandar ini? Di mana kedai dan bangunan pentadbirannya? Hakikatnya, Bandar Melati hanya tinggal nama kerana perancangannya tidak menjadi kenyataan selepas pembubaran Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) pada 1996.
“Kawasan ini sepatutnya dibangunkan sebagai sebuah bandar tetapi apabila agensi itu dibubarkan, banyak perancangan pembangunan terhenti dan kawasan yang dirancang akhirnya terbiar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Worrzari, walaupun serba kekurangan, Bandar Melati masih ada beberapa kemudahan asas penting termasuk balai polis dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Melati yang menjadi pusat pendidikan masyarakat setempat.
Katanya, penduduk amat berharap kerajaan dapat gerakkan semula cadangan pembangunan perumahan yang dirancang di kawasan kira-kira 20 hektar berhampiran balai polis Bandar Melati.
“Difahamkan, terdapat perancangan pembinaan kira-kira 350 unit rumah di kawasan tersebut. Jika projek ini dapat direalisasikan, ia mampu mengubah landskap Bandar Melati dan menjadi pemangkin pertumbuhan penduduk serta ekonomi setempat. Kami mahu Bandar Melati benar-benar menjadi bandar, bukan sekadar nama dalam dokumen,” katanya. –UTUSAN










