KALAU ikutkan aplikasi Google Maps, sudah tiga kali saya sampai di lokasi dituju terletak di Jalan Amornrith, Betong, Thailand. Namun, tidak nampak pun ada kafe di situ.
Kalau ada pun bangunan tiga tingkat di atas bukit yang nampak terbiar. Bagaimanapun, tidak disangka-sangka, rupa-rupanya itulah Keeree Coff yang saya cari-cari.
Dari luar nampak buruk dengan warna cat yang sudah pudar dan pecah-pecah. Saya jangkakan ruang dalaman pasti cantik dihiasi perabot moden.
Sebaik sahaja masuk, nampak kaunter pesanan dan ruang bancuh minuman yang moden. Mungkin betullah telahan saya agaknya, luaran nampak buruk tapi dalaman serba baharu.
Kebetulan ada pemilik kafe, lalu saya bertanyakan tentang latar belakang premis tersebut. Hafiz Tayeh, 27, berkata, bangunan tersebut asalnya memang sebuah kafe tetapi terjejas operasi berikutan dilanda Covid-19.

Hampir lima tahun bangunan berkenaan terbiar tanpa dihuni sesiapa. Kira-kira dua tahun lalu, Hafiz ambil keputusan menyewa premis itu daripada pemiliknya yang berasal dari Bangkok untuk mengusahakan Keeree Coff.
Dia memberitahu, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan muda yang sememangnya menjadikan lepak di kafe sebagai gaya hidup.
“Ramai orang Malaysia datang ke sini. Orang Thailand dari daerah lain pun ramai terutama dari Bangkok,” kata anak jati Betong itu.
Di sini kena cuba Es-Yen (espreso ais gaya Thai), teh Thai krim keju, susu segar strawberi dan teh rambutan yang merupakan antara minuman istimewa. Harga pun berpatutan, sekitar 45 hingga 80 Baht (RM6 hingga RM10).
Pelbagai kek yang ada juga nampak sedap, cuma saya tidak ambil sebab perut sudah penuh lepas makan tengah hari. Hafiz yang merupakan lulusan jurusan makanan dan minuman (F&B) dari sebuah kolej di Yala menjelaskan, dia mahu mengekalkan konsep bangunan terbiar sebagai dekorasi kafe.
Selesai pesan minuman, saya naik tingkat satu. Terkejut saya bila lihat tangganya tiada susur tangan!

Ini betul-betul macam bangunan terbiar. Kalau bawa kanak-kanak, kena pimpin mereka betul-betul.
Betullah cakap Hafiz, dia memang mahu mengekalkan konsep bangunan terbiar. Apabila naik ke tingkat satu, suasananya macam ruang belum siap dengan dinding berlubang dan ada tingkap yang tiada cermin.
Kalau hujan lebat mesti basah kena tempias. Perabot pun tidak banyak disusun, ada enam, tujuh meja.
Sesuai sangat untuk mereka yang mahukan ketenangan sambil minum-minum. Bagaimanapun, vibe sangat berbeza apabila saya berada di aras bumbung.
Nah! Panorama 360 darjah bandar Betong menanti setiap pengunjung.

Terbentang bandar itu dengan bangunan dan jalan raya yang tersusun. Boleh nampak beberapa mercu tanda antaranya Menara Jam Betong.
Di penghujung bandar, kelihatan dari jauh kehijauan bukit-bukau dengan langit terbentang luas, sejuk mata memandang. Sambil hirup kopi dan jamah pastri, boleh tatap pemandangan memukau mata.
Hampir setengah jam saya berada di Keeree Coff. Sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa, rakam gambar puas-puas sebagai ‘stok’ untuk muat turun dalam media sosial nanti!
Untuk mereka yang mahu datang ke kafe ini, kalau susah jumpa, cari sahaja Terowong Mongkollit yang popular dalam kalangan pelancong asing dan penduduk tempatan.

Keeree Coff terletak betul-betul di atas terowong tersebut. Waktu operasinya dari pukul 4 petang hingga 11 malam setiap hari.
Pai gin gaa-fae gan (jom minum kopi)!










