PONTIAN: Enam suspek yang ditahan berhubung kematian seorang lelaki di Pekan Nanas, di sini kelmarin mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kesemua suspek warga tempatan yang berusia antara 18 hingga 22 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di Taman Desa Botani, Batu Pahat dan Pangsapuri Awam Lima Kedai, Gelang Patah antara pukul 8 malam hingga 4 pagi.
Katanya, operasi khas tersebut digerakkan Task Force Jenayah Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, selain dibantu Cawangan D9, D7 serta Jabatan Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
“Hasil soal siasat awal, kesemua suspek mengaku terlibat dalam serangan ke atas mangsa sehingga menyebabkan kematian. Semakan lanjut turut mendapati kesemua tangkapan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Polis turut merampas pelbagai barangan disyaki digunakan semasa kejadian bernilai keseluruhan RM120,000, antaranya kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara, sebuah Toyota Estima, sebilah parang, satu sarung muka, empat pelitup muka berwarna hitam, pakaian serta sebuah telefon bimbit jenis iPhone 17 Pro,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, motif pembunuhan masih di peringkat siasatan dan usaha mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas serta baki barang kes sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Habis..
Caption:
ENAM suspek ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.










