ALOR SETAR: PKR tidak akan terlalu melayan isu tindakan segelintir pimpinan dan ahli termasuk daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang keluar parti, sebaliknya terus memberi fokus memperkukuh kekuatan di peringkat akar umbi.
Naib Ketua AMK, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, PKR sentiasa melihat ke hadapan dan memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan parti demi kepentingan rakyat.
Menurut beliau, setiap individu mempunyai hak masing-masing namun perkara itu tidak memberi kesan besar kepada parti, kerana PKR merupakan sebuah parti yang mempunyai hala tuju masa depan.
“Kita tidak (terjejas), PKR sentiasa lihat ke depan. Setiap individu mempunyai hak masing-masing tetapi apa yang penting itu tidak memberikan kesan yang besar kepada parti sebab parti kita parti masa depan.
“Kita mahukan hala tuju kita terus maju dan mara. Kita terus memperkuatkan parti di peringkat akar umbi termasuk ranting, aktivis dan kekuatan di peringkat bawah khususnya AMK, Wanita dan pimpinan lain,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Taufiq berkata, fokus utama PKR ketika ini adalah memastikan kekuatan parti dapat dimanfaatkan untuk membantu rakyat khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi dan global semasa.
“Dengan segala bentuk yang berlaku, bagi saya kita tak boleh terlalu layan perkara-perkara sebegitu. Yang penting kita berjalan maju dan mara ke hadapan. Itu fokus dan keutamaan PKR buat masa ini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan dakwaan kononnya ramai ahli AMK keluar parti sebagai subjektif kerana tiada angka sebenar yang dapat disahkan.
“Ramai itu subjektif, mungkin ada yang kata ramai, mungkin ada yang kata sikit. Saya tidak tahu angka sebetulnya tapi yang pasti kita tetap fokus dengan gerak kerja perkuat parti bukan untuk politik semata-mata tetapi memberikan kebaikan kepada rakyat keseluruhan,” katanya.
Menurut beliau, dalam keadaan dunia berdepan krisis ekonomi dan krisis global ketika ini, parti politik seharusnya lebih memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat.
“Kita lihat dengan krisis ekonomi dan krisis global, lebih baik untuk kita fokus kepada memberikan kebajikan rakyat secara keseluruhan dengan memperkuat parti dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN









