JBPM Selangor tugaskan anggota kawasan 'hotspot' banjir kilat - Utusan Malaysia

JBPM Selangor tugaskan anggota kawasan ‘hotspot’ banjir kilat

NORAZAM Khamis (tengah) merasmikan kempen keselamatan kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di AEON Shah Alam, Selangor, hari ini, - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor tidak lagi menunggu panggilan daripada orang ramai untuk melakukan kerja-kerja meronda kawasan hotspot banjir kilat.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, kesemua anggotanya telah diletakkan dalam kesiapsiagaan yang tinggi sejak insiden banjir di Selangor pada 18 Disember tahun lalu dan ia diteruskan sehingga Februari ini bagi memastikan tindakan yang lebih cepat dan pantas.

Katanya, berdasarkan pengalaman, terdapat lebih 20 kawasan hotspot di Selangor yang akan mengalami banjir kilat terutama apabila hujan dalam tempoh satu hingga dua jam.

Antara kawasan hotspot yang dikenal pasti bagi daerah Petaling ialah di Taman Sri Muda, Kampung Bukit Lanchong, Jalan Kebun dan Seksyen 17 serta di Subang Jaya dan Puchong.

Kawasan lain ialah di Kampung Bukit Changgang, Labohan Dagang dan Labu Lanjut di Sepang, Parit Mahang dan Desa Coalfield di Kuala Selangor serta Pekan Rawang di Rawang.

“JBPM Selangor sejak daripada banjir tahun lepas masih dalam keadaan berjaga-jaga hingga arahan cuti juga masih dibekukan. 

“Kita sedang meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan tidak menunggu lagi panggilan daripada orang ramai, bila berlaku hujan dan ribut, kita sendiri buat rondaan di kawasan hotspot,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen keselamatan berkaitan musim perayaan Tahun Baharu Cina 2022 di AEON Mall, Seksyen 13, di sini hari ini.

Kempen keselamatan yang bermula 20 Januari sehingga 10 Februari akan memberi tumpuan kepada pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran (MBK) terutama di kawasan tumpuan orang ramai seperti di pusat beli-belah dan hotel bagi memastikan keadaan selamat. 

Mengulas lanjut, Norazam memberitahu, pihaknya juga akan meletakkan pasukan khas di Plaza Tol Rawang dan Mahkota sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina bagi memudahkan anggota memberikan respon awal sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.

“Kita juga telah merancang dan bagi memastikan bahawa perjalanan masyarakat ketika Tahun Baharu Cina berjalan lancar dengan menyediakan pasukan khas yang memberi tumpuan di laluan utama di Plaza Tol Rawang dan Mahkota, anggota kita akan bersiap-sedia 24 jam seminggu untuk membantu dan bertindak segera terhadap apa juga berkaitan kemalangan jalan raya.

“Bagi tempoh pemeriksaan MBK yang dijalankan selama seminggu sehingga semalam, kita melakukan 93 pemeriksaan MBK dan 63 notis dikeluarkan melibatkan beberapa kesalahan seperti menghalang laluan keluar kecemasan, lampu dan alat penggera kecemasan tidak berfungsi dengan baik dan sebagainya,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya