Bomba sahkan warga Myanmar maut dalam kebakaran di bangunan Odeon

Bomba sahkan warga Myanmar maut dalam kebakaran di bangunan Odeon

BEBERAPA anggota bomba sedang memeriksa keadaan bangunan Odeon yang terbakar di Jalan Penang, Pulau Pinang malam tadi.-GAMBAR/FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang lelaki warga Myanmar maut dalam satu kebakaran yang memusnahkan kira-kira 70 peratus unit kedai yang berfungsi sebagai pusat hiburan dua tingkat di Bangunan Odeon, Jalan Penang di sini, malam tadi.

Mangsa, Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56, dijumpai tidak sedarkan diri berhampiran pintu masuk hadapan premis kira-kira pukul 10.23 malam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 8.50 malam sebelum sepasukan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.28 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 11.22 malam dengan bantuan daripada beberapa pasukan bomba sukarela (PBS),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, seramai 38 anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi itu yang turut dibantu oleh beberapa agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sebelum itu, beberapa keping gambar serta rakaman video mengenai kejadian tersebut tular di media sosial malam tadi sehingga mengundang kerisauan orang ramai berikutan keadaan api yang dilihat begitu marak sekali.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian daripada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang turun melawat lokasi malam tadi dengan ditemani oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN