Pas beri bayangan tanpa Bersatu dalam pilihan raya - Utusan Malaysia

Pas beri bayangan tanpa Bersatu dalam pilihan raya

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjasama politik antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin tegang menjelang pilihan raya akan datang selepas Pas memberi bayangan kedua-dua parti itu mungkin bergerak secara berasingan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jalan terbaik ketika ini adalah kedua-dua parti kekal sebagai rakan politik namun tidak lagi berada di pentas pilihan raya yang sama.

Katanya, cadangan itu dibuat selepas terdapat pemimpin Bersatu di Melaka yang didakwa menyindir pihak yang mengatakan parti berkenaan tidak mempunyai jentera sebagai ‘pekak’.

“Maka jika menyatakan hakikat bahawa Bersatu ketiadaan jentera dikatakan pekak, tiada harapan lagi sebuah kerjasama harmoni selepas ini.

“Secara peribadi saya cadangkan jalan yang terbaik adalah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, ketiadaan jentera bukan satu kesalahan bagi mana-mana parti terutamanya bagi parti baharu.

Namun, beliau berkata, ia menjadi masalah apabila kelemahan itu tidak mahu diakui.

“Tetapi jika dalam tempoh bertahun-tahun selepas pilihan raya asyik berantakan, ia bukan memantapkan parti. Ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan.

“Kerana itu, pihak tersebut apabila bertanding lebih banyak kerusi daripada kawan-kawan dalam gabungan tetapi sering kali gagal menang lebih banyak. Ia terhasil daripada kajian serta bacaan yang tidak tepat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, perkembangan membabitkan Bersatu dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan turut menimbulkan kebimbangan terhadap hala tuju parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, tindakan Bersatu dalam isu tersebut turut menimbulkan kebimbangan sama ada parti itu akan membuat keputusan sendiri dalam pembentukan kerajaan Persekutuan selepas PRU16.

“Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau. Selamat maju jaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN