Generasi Z bangkit mempersoalkan AI - Utusan Malaysia

Generasi Z bangkit mempersoalkan AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu lalu, di tiga universiti Amerika Syarikat, para graduan yang menghadiri majlis konvokesyen telah meluahkan perasaan marah mereka kepada tokoh-tokoh perniagaan yang menyampaikan ucapan pembukaan (commencement) dalam majlis itu.

Para graduan itu membuat jeritan “boo” kepada tetamu-tetamu itu ketika mereka menyatakan betapa kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah dunia dan lulusan-lulusan kolej perlu menyesuaikan diri.

Tokoh-tokoh perniagaan itu juga menyatakan banyak pekerjaan telah hilang kerana AI mampu melakukannya dengan kos rendah tanpa banyak kerenah manusia.

Penyampai-penyampai ucapan itu ialah Eric Schmidt, bekas Ketua Eksekutif (CEO) Google di Universiti Arizona, Gloria Caulfield, Eksekutif Real Estate and Strategic Alliances di University of Central Florida (Kolej Seni dan Kemanusiaan) dan Scott Borchetta di Middle Tennessee State University.

Schmidt menyebut bahawa AI akan menyentuh semua profesion dan para graduan perlu mengubah kemampuan diri kerana apa yang mereka pelajari di universiti sudah tidak relevan, disebabkan peranan mereka telah diambil alih oleh AI.

Tentulah para graduan itu marah kerana mereka baru saja habis belajar dan mendapati pekerjaan tidak ada untuk mereka.

Caulfield pula dibantah apabila beliau menyifatkan sebagai ‘revolusi industri yang selanjutnya.’

Para graduan tidak dapat menghargai perkara ini kerana ‘revolusi industri’ ini merampas pekerjaan dan pendapatan mereka.

Borchetta pula berkata: “AI sedang melakar kembali kaedah pengeluaran yang akan ketika kita berada di sini dan ia akan memberi manfaat kepada kamu,” – Suatu kata-kata yang ditolak oleh para graduan.

Tentulah AI ini tidak akan memberi manfaat kepada mereka kerana apa faedahnya jika AI menghapuskan periuk nasi mereka.

Nampak sangat terbahagi perspektif antara anak-anak muda yang baru lulus universiti dan hendak masuk ke pasaran pekerjaan berbanding golongan tua dalam kalangan eksekutif perniagaan dan teknologi.

Malah ada netizen yang menyatakan keadaan ini merupakan pertembungan antara generasi Z (lahir 1997 hingga 2012) yang berasa bimbang dan risau terhadap masa depan mereka dengan generasi Boomer (lahir 1946 hingga 1964) yang menjadi pelbagai CEO dan teruja dengan teknologi AI. Merekalah yang mengaut keuntungan daripada saham-saham dengan tidak perlu memperdulikan tentang pekerjaan mereka.

Maka pada 23 Mei lalu, wartawan CNN terkenal, Fareed Zakaria yang diundang untuk menyampaikan ucapan pembukaan konvokesyen di Bard College, New York mengelak diri daripada bercakap tentang AI. Sebaliknya, beliau bercakap mengenai Human Intelligence (HI) atau kecerdasan manusia, iaitu sebagai menghargai kebijaksanaan manusia berbanding AI.

Bulan lalu, China mengumumkan undang-undang bagi menghalang syarikat-syarikat memberhentikan pekerja atas sebab hendak menggantikan mereka dengan AI. Maknanya, AI bukan saja soal teknologi dan perniagaan tetapi juga menyentuh mengenai sosial dan kemanusiaan. Ia bukan saja soal ekonomi nasional dan global tetapi juga soal individu dan keluarga.

Jadi, apabila menghadapi perkembangan teknologi, masyarakat hendaklah mengutamakan kepentingan manusia daripada jentera. Maknanya, alat termasuk AI dan robot berkhidmat untuk manusia. Ia direka bentuk dan disesuaikan untuk kemudahan manusia. Bukanlah manusia yang perlu menyesuaikan diri untuk kepentingan jentera.

China diperintah secara mutlak oleh Parti Komunis China bolehlah memperkenalkan peraturan itu. Tetapi negara-negara demokrasi liberal yang dipengaruhi oleh korporat-korporat besar tentu tidak dapat berbuat demikian.

Minggu lalu juga di Singapura, StanChart iaitu Bank Standard Chartered memberhentikan pekerja low-value human capital dan menggantikannya dengan AI.

Secara jujur, ia menyerlahkan mentaliti korporat. Manusia hanyalah modal (capital) seperti wang ringgit dan aset lain. Seperti modal lain, ia ada nilai tinggi dan nilai rendah. Maknanya, dalam kalangan kakitangan syarikat, sama ada pegawai atau pekerja, ada yang berbeza nilai. Maka mereka yang dianggap sebagai ‘bernilai rendah’ boleh digantikan dengan AI.

Bekas Presiden Singapura, Halimah Yaacob menegur StanChart atas penggunaan ungkapan yang tidak sensitif itu.

Maka manusia adalah alat seperti kuda zaman dahulu. Apabila diperkenalkan jentera wap seperti keretapi yang diberi nama julukan ‘iron horse’ (kuda besi), maka kuda sebenar pun dilepaskan untuk digantikan dengan alat baharu yang lebih cekap dan menguntungkan. Itulah yang disebut sebagai ‘revolusi industri pertama’.

Kemudian datang komputer. Maka banyak pekerjaan terhapus dengan adanya teknologi maklumat. Perkembangan ini tidak dibantah kerana bukan saja ia memudahkan pekerjaan tetapi para pekerja boleh dilatih semula untuk mengendalikan komputer itu

Komputer membawa kepada Internet. Kini Internet membawa kepada AI yang berkait dengan pembangunan robot. Ini adalah ‘revolusi industri kedua’. Ia bukan saja memudahkan pekerjaan manusia tetapi menghapuskan pekerjaan manusia.

Di Amerika, ada sebuah syarikat yang terus menutup Jabatan Sumber Manusia (HR) kerana telah menggunakan AI sepenuhnya.

Di China, sudah tular video ‘dark factories’ (kilang-kilang gelap) yang menggunakan AI dan robot untuk mengeluarkan produk. Ia dinamakan kilang gelap kerana tidak ada lampu sebab hanya manusia memerlukan cahaya untuk bekerja. Kilang gelap boleh bekerja siang dan malam tanpa henti.

Jika hampir semua pekerjaan dihapuskan, apa yang manusia boleh lakukan? Maka dikatakan manusia perlu mencipta pekerjaan baharu atau dalam kata lain, manusia perlu menyesuaikan diri dengan kehadiran AI.

Tetapi adakah pencipta-pencipta AI itu turut berusaha untuk mencipta pekerjaan-pekerjaan baharu bagi para pekerja? Tentu tidak, mereka hanya sibuk mencipta teknologi bagi kepentingan pemegang-pemegang saham syarikat AI itu. Akhirnya akan pasti berlaku pertembungan. Apa yang akan muncul bukannya Revolusi Industri Baharu tetapi Revolusi Insani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN