PETALING JAYA: Segala kritikan melanda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan perhatian serius kerajaan dengan tidak membiarkan kepercayaan rakyat kepada badan penguatkuasaan itu terus terhakis
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sekiranya tuduhan itu benar, ia mesti ditangani serta-merta sebaliknya palsu, mesti ada tindakan kepada mereka sengaja menyebarkan tuduhan palsu kepada entiti sebegitu penting.
Tambahnya lagi, perkara itu tidak wajar dijadikan isu politik apabila entiti seperti SPRM terlalu penting untuk dibiarkan menjadi modal mereka yang mahu mengambil kesempatan terhadap institusi itu.
“SPRM merupakan satu entiti amat penting dalam usaha memastikan integriti dan tadbir urus yang baik dalam negara. Saya sendiri beberapa kali meminta nasihat SPRM dalam beberapa isu kerana SPRM seharusnya menjadi rujukan kita dalam menegakkan integriti pentadbiran negara.
“SPRM mesti kekal sebagai agensi yang dipercayai oleh rakyat, tanpa mengira warna politik. Sebab itulah bagi saya, kritikan demi kritikan yang melanda SPRM hari ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan. Jangan dibiarkan kepercayaan itu terhakis.
“Jika tuduhan itu benar, ia mesti ditangani serta merta. Jika tuduhan itu palsu, mesti juga ada tindakan kepada mereka yang sengaja menyebarkan tuduhan palsu kepada entiti yang sebegitu penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, SPRM terpalit dengan isu pemilikan saham membabitkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Azam menjelaskan menjelaskan isu adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu dan memaklumkan sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian. – UTUSAN










