SEPANG: Prihatin dengan mangsa banjir terutama mereka yang terjejas di daerah ini, Hotel dan Pusat Konvensyen Movenpick Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengambil tanggungjawab membantu mereka di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Pengurus Besarnya, Wan Enderi, ia antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan melaksanakan kutipan derma banjir untuk diagihkan kepada mereka yang ditempatkan di PPS Masjid Sultan Abdul Samad KLIA dan Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, di sini baru-baru ini.
“Jumlah mangsa yang diselamatkan meningkat dua kali ganda dari hari pertama pada 20 Disember dan PPS adalah di bawah penyeliaan dan penyelarasan Pejabat Majlis Perbandaran Sepang dan Pengurusan Masjid Sultan Abdul Samad.
“Pihak hotel menyediakan makan malam dan makan tengah hari yang dibungkus untuk diagihkan kepada seramai 200 orang mangsa dengan anggaran nilai RM7,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak pengurusan dan kakitangan turut menyumbangkan bekalan keperluan harian kepada mangsa selain menggalakkan orang ramai untuk turut sama-sama memberikan sumbangan mengikut kemampuan.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut diambil oleh rangkaian Hotel Accor iaitu Mercure Kuala Lumpur Shaw Parade dan Mercure Pantai Chenang, Langkawi melalui sumbangan makanan kering dan air mineral bernilai RM2,000 untuk membantu lebih 400 orang yang memerlukan di pusat pemindahan tersebut. -UTUSAN ONLINE










