KEMAMAN: Bekalan telur gred A di daerah ini yang terputus sejak tiga minggu lalu memaksa para peniaga menjual gred C dan E sahaja.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bilangan telur gred A amat terhad di kebanyakan premis kedai runcit dan pasar di Chukai di sini.
Seorang peniaga, Suhaimi Ahmad, 58, berkata, sepanjang tempoh terputus bekalan itu, jualan telur di kedainya di Pasar Besar Chukai hanya membabitkan gred E.
Katanya, walaupun risau telur bergred rendah itu tidak dibeli pelanggan, namun dia tiada pilihan lain bagi memastikan bekalan telur sentiasa ada.
“Kebiasaannya, saya memilih telur gred A kerana ia menjadi pilihan pertama pelanggan tetapi, sekarang terpaksa jual gred E untuk meneruskan perniagaan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Zarul Azkar, 51, berkata, keadaan itu sekali gus menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan modal tinggi bagi mendapatkan sepapan telur gred A yang kini berharga RM13.50 berbanding RM12 sebelumnya.
“Jika ada telur gred A, kita terpaksa jual hingga 0.50 sen sebiji berbanding sebelum ini hanya 0.40 sen. Sebenarnya, tak untung mana pun jual telur, tetapi itu sahaja punca rezeki kami sebagai peniaga,” katanya.
Bagi penjual kuih, Sabrina Azhar, 45, dia terpaksa menggunakan telur gred C atau E untuk membuat hidangan itu, berikutan sukar mendapat bekalan telur gred A.
“Saya terpaksa menggandakan jumlah telur dalam adunan contohnya untuk kuih sekaya, hanya memerlukan lapan telur gred A tetapi kini mencecah 12 telur jika menggunakan gred C dan E,” katanya.










