Hanya 20 peratus Bomba Sarawak diberi cuti musim perayaan - Utusan Malaysia

Hanya 20 peratus Bomba Sarawak diberi cuti musim perayaan

KHIRUDIN Drahman (dua kiri) dan Dr. Sim Kui Hian (tiga, kanan) dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Padungan, di Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak meluluskan cuti kepada hanya 20 peratus anggotanya  yang berjumlah 1,427 orang di seluruh negeri bagi memantau dan memeriksa premis-premis perniagaan sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Ini kerana menurut Pengarahnya Datuk Khirudin Drahman, sepanjang musim perayaan ini terdapat premis seperti dewan perhimpunan, hotel, restoran, pusat beli-belah, pasar raya dan tempat-tempat tumpuan orang ramai akan diubah suai, dihiasi dan aktiviti jualan murah bagi menarik perhatian pengunjung dan keadaan ini akan menyebabkan wujudnya bahaya kebakaran di premis-premis tersebut.

“JBPM akan mengeluarkan notis kepada pengusaha terlibat supaya mematuhi peraturan dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Di samping itu, JBPM juga melakukan rondaan keselamatan kebakaran di kawasan-kawasan tumpuan dan berisiko sepanjang musim perayaan pada tahun ini selain memastikan setiap pegawai mematuhi arahan yang berkuat kuasa berkaitan langkah kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19, ” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina 2022, yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak,  Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.

Menurut Khirudin lagi, antara faktor yang menyebabkan kebakaran sering berlaku pada musim perayaan adalah tidak melakukan persediaan rapi apabila hendak pulang ke kampung seperti terlupa menutup peralatan elektrik, meninggalkan api dapur ketika memasak atau tertidur semasa menyediakan makanan.

Selain itu,  penggunaan tenaga elektrik berlebihan akibat penyambungan terlalu banyak alat pada satu soket, penggunaan pelita atau lilin, bunga api atau mercun dan bara api tidak dipadamkan sepenuhnya juga boleh menjadi punca kebakaran.

Khirudin berkata, Bomba Sarawak konsisten dan penuh komited dalam memberi kesedaran serta pendidikan keselamatan kebakaran kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan latar belakang.

Antara objektif Kempen Keselamatan Kebakaran keluarga Malaysia sempena Tahun Baharu Cina 2022 adalah untuk berkongsi pengetahuan dan meningkatkan pemahaman orang awam berkaitan kaedah menyelamatkan diri ketika kecemasan atau kebakaran.

Selain itu meluaskan minda dan pemikiran masyarakat terhadap kaedah yang sistematik dalam menyelamat diri dan mencegah risiko kebakaran, mendedahkan kepentingan usaha menyelamat oleh pihak bomba dan agensi keselamatan yang lain, menerapkan ilmu-ilmu kebombaan dalam konsep pencegahan kebakaran dalam masyarakat.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya